Ki-moon mengeluarkan ke­nyataan itu ketika melawat dua kem penempatan pendatang di Pulau Lesbos yang menempatkan 3,400 orang pelarian yang sedang menunggu penilaian daripada pegawai tempatan sama ada mereka layak menuntut suaka politik.

“Penahanan bukan jawapan kepada krisis (pelarian) dan ini perlu dihentikan segera. Saya mengakui kesukaran yang dihadapi tetapi dunia mempunyai kekayaan, kapasiti dan kewajiban untuk menghadapi cabaran ini,” kata Ki-moon yang mengadakan rundingan de­ngan Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras di ­Athens.

“Penduduk ini (pelarian) telah melalui keadaan yang sukar. Penduduk Lesbos telah menunjukkan contoh yang baik kepada dunia, kamu membuka rumah kamu kepada mereka, layanan dan bantuan untuk menyokong mereka yang memerlukan,” katanya.

Di bawah perjanjian kontroversi antara Kesatuan Eropah (EU) dan Turki yang berkuat kuasa pada Mac lalu, pendatang yang gagal mendapat status pelarian di pulau-pulau Greece akan dihantar pulang ke Turki.

Lebih 45,000 orang pendatang dikatakan sedang terperangkap di Greece, bukan sahaja akibat perjanjian EU-Turki tetapi rentetan penutupan sempadan di negara-negara Balkan.

Menurut Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), sejak awal tahun ini, lebih 2,500 orang pendatang dilaporkan maut di Laut Mediterranean berbanding 1,855 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, Ki-moon berkata, program pe­nempatan semula untuk membawa pencari suaka politik yang sah ke negara-negara EU lain te­lah menunjukkan perkembangan positif.

“Masyarakat antarabangsa per­lu melakukan lebih banyak usaha untuk menyelesaikan konflik dan menangani punca yang menyebabkan berlaku begitu banyak penderitaan dan pergolakan di dunia ini,” jelasnya. – AFP