Sebanyak lapan daripada 10 laluan untuk projek berkenaan telah siap sepenuhnya dan dijangka operasi kereta api itu yang membawah jemaah haji dan umrah akan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Kesemua laluan akan siap se­­penuhnya pada suku pertama 2018 dalam projek yang bermula dengan pembinaan landasan di Stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz,” kata seorang pegawai yang enggan dikenali kepada portal Saudi Gazette.

Sementara itu, Menteri Haji dan Umrah, Muhammad Saleh Bantan memberitahu, seramai 138,000 petugas telah ditempatkan di pelbagai bahagian pihak berkuasa untuk membantu memberi perkhidmatan kepada jemaah haji tahun ini.

Katanya, lebih 95,000 kakita­ngan awam lelaki dan wanita te­lah pun dihantar bagi membantu sejumlah sukarelawan dan kumpulan pengakap lelaki yang bertugas pada musim haji kali ini.

Setakat hari ini, seramai 570,568 jemaah haji telah tiba di Arab Saudi termasuk seramai 564,239 jemaah yang menggunakan pe­ngangkutan udara, seramai 5,849 menggunakan pengangkutan darat dan seramai 480 jemaah tiba me­lalui pengangkutan laut.

Dalam pada itu, Timbalan Se­tia­usaha Kementerian Haji dan Umrah di Madinah, Mohammed Bejawi berkata, siasatan mendapati kejadian seorang jemaah haji wanita dari Iraq yang maut akibat terjatuh dari balkoni hotel Mawadah, semalam disebabkan kemalangan dan bukannya bunuh diri.

Siasatan mendapati wanita ber­usia dalam lingkungan 50-an itu tergelincir semasa menjemur pakaian di balkoni kayu hotel ber­kenaan dan terjatuh di luar ba­ngunan hotel itu.