Kewujudan ais di Bulan telah dilaporkan oleh saintis selama bertahun-tahun, namun pemerhatian sebelum ini dijelaskan oleh fenomena lain, menurut penulis kajian itu.

“Ini adalah kali pertama saintis mempunyai bukti kukuh untuk kehadiran ais di permukaannya,” kata penulis utama kajian, Shuai Li kepada AFP.

Ais tersebut terutamanya terletak antara bayang-bayang di kawah Bulan dan dikesan menggunakan instrumen daripada kapal angkasa Chandrayaan-1 yang dilancarkan pada 2008 oleh Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India.

Menurut kenyataan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA), melalui data daripada instrumen Moon Mineralogy Mapper (M3), para penyelidik mengenal pasti tiga tanda secara kimia yang membuktikan terdapat ais di permukaan Bulan.

“Kawasan kutub di mana terletaknya ais ‘sejuk melampau’,” kata Li.

Jelas beliau, masih tidak jelas kuantiti ais yang wujud kerana ins­trumen hanya dapat mengesan ais dalam beberapa milimeter permukaan bulan.

Bagaimanapun NASA menegaskan, jika terdapat cukup ais, air mungkin boleh diakses sebagai sumber untuk ekspedisi teroka masa depan dan juga kekal di Bulan.

NASA menyasarkan untuk menghantar angkasawan ke Bulan untuk kali pertama sejak misi Apollo pada 1960-an dan 1970-an.

Li berkata, cara terbaik untuk mengetahui lebih lanjut me­ngenai ais dan cara memanfaatkannya sebagai sumber adalah menghantar robot ke Bulan.