Syarikat tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan, pulangan positif turut dicatatkan oleh semua sektor perniagaannya.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018, keuntungan bersih Qantas dicatatkan meningkat 14 peratus kepada Aus$980 juta (RM2.93 bilion) - satu rekod baharu buat syarikat berkenaan dalam masa 100 tahun.

Pun begitu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Joyce ketika mengumumkan perkara ini menyatakan, pihaknya masih mengambil sikap berhati-hati dan bersedia untuk menghadapi kesan kenaikan harga minyak dunia.

“Selepas 98 tahun, syarikat penerbangan kebangsaan ini berada pada kedudukan paling kukuh dan kami melihatnya sebagai platform yang terbaik untuk menjadikan syarikat ini lebih baik. Terdapat permintaan yang sihat di semua sektor perniagaan utama kami yang selaras dengan peningkatan tahap kapasiti masing-masing. Ini adalah petanda positif untuk tahun hadapan.

“Bagaimanapun, keuntungan ini diperolehi pada ketika harga minyak dunia sedang melonjak naik. Qantas akan menghadapi satu lagi peningkatan dalam perbelanjaan minyak (bagi tahun kewangan 2019) namun kami yakin ini akan dapat diatasi melalui perancangan kapasiti, pendapatan dan kecekapan selain perangcangan dana lindung nilai syarikat,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Dengan keuntungan tersebut, Qantas telah mengumumkan dividen 10 peratus bagi setiap sahamnya selain pembelian semula saham syarikat di pasaran yang mana langkah itu akan memberikan pulangan terkumpul berjumlah Aus$500 juta (RM1.5 bilion) kepada para pemegang sahamnya.

Qantas juga akan memberikan bonus berjumlah Aus$67 (RM201 juta) kepada para pekerjanya. - AFP