Kini, selepas 25 tahun, hubungan antara Malaysia dan Ukraine terus terjalin kukuh dan saling bertukar pandangan dalam pelbagai bidang bagi mewujudkan lebih banyak faedah bersama. Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, ADLINAHANI KHALIL dan jurugambar DJOHAN SHAHRIN SHAH bersama Duta Ukraine ke Malaysia, OLEXANDER NECHYTAYLO mengenai kesinambungan hubungan kedua-dua negara serta pandangan beliau terhadap kerjasama yang terjalin.

 

UTUSAN: Bagaimana tuan melihat hubungan antara Malaysia dan Ukraine yang sudah terjalin selama 25 tahun?

NECHYTAYLO: Rasa seperti baharu semalam Ukraine menjalin hubungan dengan Malaysia dan kini sudah menginjak ke usia 25 tahun. Itu merupakan satu tempoh yang lama. Sebagai wakil Ukraine di Malaysia, sudah tentu saya gembira melihat perkembangan hubungan antara kedua-dua negara ini. Saya yakin hubungan yang terjalin ini akan lebih kukuh pada masa akan datang berdasarkan keterbukaan Malaysia-Ukraine untuk saling berkongsi pandangan dalam pelbagai bidang terutamanya sektor perdagangan.

Sejak mula menjalin hubu­ngan diplomatik, Malaysia dan Ukraine mempunyai asas yang kukuh dalam perdagangan apabila negara ini mengeksport minyak kelapa sawit ke Ukraine manakala Ukraine pula mengeksport minyak bunga matahari ke Malaysia. Lawatan Presiden Ukraine, Petro Poroshenko ke Malaysia bulan lalu juga me­nyaksikan persetujuan dengan Malaysia untuk menubuhkan satu suruhanjaya perdagangan sebagai platform kedua-dua negara meningkatkan kerjasama ekonomi dan potensi pelaburan.

Bila berbicara mengenai Uk­raine, rata-ratanya memba­yang­kan negara itu diselubungi pemberontakan, bagaimana untuk mengubah persepsi tersebut?

NECHYTAYLO: Itu adalah satu soalan yang bagus kerana sehingga kini saya masih di­tanya adakah Ukraine terus bergolak dengan pemberontakan? Ingin saya jelaskan Ukraine mengamalkan demokrasi dalam pentadbiran kerajaan dan kami memandang serius terhadap sebarang perkara yang boleh menjejaskan keamanan negara.

Ramai yang salah faham de­ngan keadaan sebenar di Ukraine kerana mereka berkemungkinan didedahkan dengan pelbagai maklumat yang salah. Ukraine menjadi antara negara yang memperoleh kemerdekaan tanpa sebarang pertumpahan darah dan itu jelas menunjukkan kami mementingkan keamanan. Biarpun pada mulanya tercetus konflik dalaman, namun atas kredibiliti kerajaan, demokrasi dapat diamalkan dan dijadikan tunjang menjaga kesejahteraan seluruh rakyat Ukraine.

Adakah ramai rakyat Malaysia berkunjung ke Ukraine untuk bercuti?

NECHYTAYLO: Secara jujur­nya, tidak ramai dan berdasarkan rekod, kira-kira 1,000 pelancong dari Malaysia melawat Ukraine pada tahun lalu. Sehubungan itu, saya diberi tanggungjawab untuk mempromosi pelancongan di Ukraine terhadap masyarakat di sini. Ukraine mempunyai pelbagai tempat menarik, sama se­perti di Malaysia dan kami juga kaya dengan budaya, sejarah dan etnik.

Masalah mendapatkan visa mungkin menjadi antara faktor utama mengapa rakyat ini kurang mengunjungi Ukraine dan hasil perbincangan, pihak berkuasa Ukraine memutuskan bahawa rakyat Malaysia boleh mendapatkan visa sebaik sahaja tiba di lapangan terbang. Soal makanan halal pula, pengunjung beragama Islam tidak perlu bimbang kerana industri halal di Ukraine semakin berkembang dari semasa ke semasa berikutan pertambahan komuniti Islam.

Bagaimana pula dengan jumlah penuntut Malaysia yang mengambil jurusan perubatan di Ukraine?

NECHYTAYLO: Jumlah penuntut Malaysia semakin me­nurun selepas Majlis Perubatan Malaysia menarik balik pentauliahan pendidikan dalam bidang perubatan di institut pengajian tinggi Ukraine. Bagaimanapun, Ukraine komited untuk menjalin kerjasama dengan Malaysia dalam sektor pendidikan dan tidak hanya tertumpu dalam bidang perubatan.

Sebagai contoh, Kedutaan Uk­­raine di Malaysia menjalin kerjasama dengan beberapa universiti awam Malaysia seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam pelbagai bi­­­dang pendidikan termasuk pertanian. Selain itu, program pertukaran pensyarah juga boleh dilakukan antara universiti di Malaysia dengan Ukraine. Ini secara tidak langsung memberi pendedahan dan peluang kepada ke­dua-dua pihak merasai pengalaman pengajaran yang berbeza.

Apa perkembangan terbaharu mengenai siasatan tragedi pesawat Malaysia Airlines, MH17?

NECHYTAYLO: Seperti yang diketahui, siasatan masih dite­ruskan oleh lima negara terma­suk Ukraine dan Malaysia serta diketuai oleh Belanda. Tidak mahu berdalih, Ukraine de­ngan pendirian tegas akan terus membantu siasatan sehingga pihak yang bertanggungjawab me­nerima hukuman sewajar­nya. Kami percaya keadilan akan muncul juga satu hari nanti biarpun siasatan perlu mengambil masa yang lama. Biarpun nahas itu berlaku di Ukraine, namun saya ingin tegaskan senjata itu dibawa masuk dari Rusia dan dilancarkan di Ukraine.

Apakah makanan Malaysia yang menjadi kegemaran tuan?

NECHYTAYLO: Malaysia mem­­punyai banyak makanan yang lazat namun yang paling saya suka adalah durian. Sejak diperkenalkan oleh rakan saya, saya jatuh hati pada durian biarpun ramai yang tidak suka akan baunya yang kuat. Setakat ini, saya mampu habiskan sekurang-kurangnya lima biji durian bersama isteri saya.