Insiden itu secara tidak langsung mengubah persepsi dunia terhadap New Zealand yang sebelum ini dilabel sebagai ‘antara 10 negara paling selamat di dunia’ dengan kadar jenayah yang rendah.

Selain keluarga mangsa dan komuniti Islam antarabangsa, individu lain yang turut terkesan berhubung tragedi itu termasuklah Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

Beliau yang baharu sembilan bulan melahirkan cahaya mata pertama menyifatkan insiden berkenaan sebagai peristiwa paling hitam dalam sejarah New Zealand dan berikrar akan memastikan hak mangsa yang terkorban terbela dan pihak bertanggungjawab menerima hukuman setimpal.

Sama seperti para pemimpin lain, Ardern yang merupakan Perdana Menteri wanita paling muda di dunia juga pasti sukar melelapkan mata susulan keganasan yang berlaku di negaranya.

Namun, pemimpin berusia 38 tahun itu tetap menunjukkan ketenangan pada riak wajahnya setiap kali muncul di televisyen mahupun bertemu dengan ke­luarga-keluarga mangsa.

Imejnya yang mengenakan selendang hitam sebagai tanda berkabung turut mendapat pujian daripada pelbagai pihak terutamanya masyarakat Islam yang menyifatkan Ardern sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat tanpa membezakan soal agama, bangsa serta negara.

Malah, dalam beberapa kenya­taan yang dibuat oleh pemimpin itu, beliau berulang kali menegaskan tiada tempat untuk golongan pengganas di New Zealand dan semua masyarakat yang ada di negara itu adalah penduduk tanpa mengira asal usul serta agama.

“Ini bukanlah New Zealand yang mereka tahu dan ini juga bukan New Zealand yang kita kenal.

“Mereka (mangsa terkorban) adalah penduduk negara ini. Mereka adalah kita semua,” katanya sejurus selepas insiden kejam itu berlaku.

Selain itu, Ardern juga memberi jaminan setiap mangsa yang terkorban akan menerima upacara pengebumian yang sewajarnya sebagai menghormati keluarga mangsa.

Ketegasan Ardern di sebalik ketenangannya juga dapat dilihat apabila pemimpin itu berikrar untuk segera mengetatkan undang-undang penggunaan senjata api di New Zealand.

“Ketika ini, saya ingin memaklumkan undang-undang senjata api di negara ini akan berubah,” jelasnya.

Sikap serta sifat kepemimpinan Ardern yang tidak berat sebelah boleh dilihat apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertanya jika ada apa-apa bantuan yang boleh AS salurkan kepada New Zealand dan secara ringkas, Ardern menjawab ‘tunjukkan simpati serta kasih sayang terhadap semua komuniti Islam’.

Dalam pada itu, kesedihan susulan tragedi itu dilihat secara tidak langsung ‘menyatukan’ penduduk New Zealand terutamanya di Christchurch apabila mereka beramai-ramai memberi penghormatan dan meletakkan jambangan bunga di luar pekarangan Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

Rata-ratanya melahirkan rasa simpati dan terkejut dengan insiden yang berlaku kerana kali terakhir Christchurch dilanda musibah adalah ketika tahun 2010 dan 2011 akibat gempa bumi.

Sejak itu, penduduknya menjalani kehidupan normal seperti biasa tanpa prejudis terhadap mana-mana kaum pendatang yang memasuki negara berkenaan termasuk komuniti Islam.