Presiden PT Angkasa Pura (AP I) Faik Fahmi berkata, pihaknya yang mengendalikan pengurusan lapangan terbang itu, telah me­ningkatkan rondaan di sekitar lapangan terbang dan memperincikan pemeriksaan latar belakang penumpang menggunakan analisis kamera litar tertutup (CCTV).

Pemeriksaan ketat juga dilakukan terhadap kenderaan selain meningkatkan kerjasama dengan pasukan keselamatan luar, lapor portal Kompas.

Pos keselamatan turut diadakan di setiap lapangan terbang sebagai pusat koordinasi pasukan keselamatan.

“Kami turut menambah sebanyak dua kali ganda jumlah anggota keselamatan yang bertugas,’’ kata Faik yang turut memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya kini mempu­nyai 723 anggota keselamatan yang berkawal berbanding sebelum ini seramai 216 anggota.

Ini menjadikan jumlah anggota keselamatan yang berkawal di semua 13 lapangan terbang di negara ini ialah 3,835 orang, tambah beliau.

Faik berkata: “Para penumpang dinasihatkan supaya tiba tiga jam lebih awal daripada waktu berlepas bagi mengelak kesesakan lalu lintas berikutan pemeriksaan ketat terhadap kenderaan yang memasuki lapangan terbang.”

Sementara itu, jalan raya di sekitar bandar ini kelihatan tenang tetapi penduduk telah diingatkan supaya berwaspada terhadap keadaan sekeliling dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika terdapat aktiviti yang mencurigakan.

Menurut laporan Jakarta Post semalam, hanya beberapa buah kenderaan dilihat berada di jalan raya utama bandar ini dan tidak ramai warga kota ini yang kelihatan berada di tempat-tempat awam seperti pusat beli belah.

Datuk Bandar Surabaya, Tri Risma Rismaharini mengisytiharkan semalam sebagai hari cuti untuk semua pelajar sekolah di bandar ini dan ia mungkin dilanjutkan ke hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, polis Australia memaklumkan pihaknya kini melaksanakan pemeriksaan identiti secara rambang di lapangan terbang negara itu selepas pelaksanaan undang-undang keselamatan baharu.

Perdana Menteri, Malcoml Turnbull berkata, di bawah undang-undang tersebut para pegawai di lapangan terbang tidak perlu memberikan alasan apabila meminta pengenalan diri penumpang ketika berdepan situasi bahaya.

Beliau berkata, kejadian serangan bom bunuh diri di Surabaya merupakan peringatkan kepada pihak berkuasa Australia untuk sentiasa berwaspada. - AGENSI