Pujian tersebut disuarakan oleh pemimpin-pemimpin EU, ketika Canselor Jerman, Angela Merkel yang ditemani Presiden EU, Donald Tusk dan Timbalan Presiden Suruhanjaya Eropah, Frans Timmermans melawat sebuah kem pelarian di Nizip berdekatan sempadan Syria, semalam.

Tusk memuji kerajaan pimpinan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu yang wajar dijadikan contoh kepada dunia dalam mengendalikan hal pelarian.

“EU akan mengeluarkan perbelanjaan sebanyak 1 bilion euro (RM4.38 bilion) pada pertengahan tahun ini untuk digunakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan pelarian Syria,” katanya seperti dilaporkan portal Al Jazeera.

Dalam pada itu, Merkel berkata, perjanjian dengan Turki bertujuan mengekang aktiviti penyeludupan manusia, terutamanya menggunakan laluan laut yang boleh mengundang risiko tinggi.

Beliau kagum terhadap usaha kerajaan Turki di kem Nizip dan berharap menerusi bantuan EU, pelarian Syria akan menjalani kehidupan yang lebih baik, selain memberi peluang kepada golongan pelarian kanak-kanak untuk mendapat pendidikan.

“Perjanjian ini bukan sahaja mengekang kebanjiran pendatang tanpa izin tetapi mencipta lebih banyak peluang kepada pelarian yang tinggal berdekatan negara asal mereka,” katanya.

Sebagai balasan, EU berjanji untuk memberi akses visa percuma kepada rakyat Turki seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Dovutoglu berkata, perjanjian berhubung pelarian itu telah menunjukkan kesan positif dan jumlah pelarian yang menyeberangi Laut Aegean, berkurangan dengan mendadak daripada 6,000 orang pada November lalu kepada 130 orang bulan ini.

“Kami telah memenuhi syarat perjanjian dan EU perlu melakukan perkara sama bagi mengelakkan krisis ini berulang,” katanya.