Daily Mail melaporkan, penyelidik telah lama mengetahui bahawa penghidap demensia mempunyai paras protein tinggi yang akan memasuki ke dalam cecair otak dipanggil cerebrospinal selepas sel-sel otak mati.

Bagaimanapun mereka tidak tahu cara mengukurnya tanpa membuang cecair tulang belakang.

Dalam kajian terbaharu, saintis menyatakan mereka kini boleh mengesan protein dalam darah dan tahap peningkatan kelajuan otak kehilangan neuron dan mula mengecut pada masa yang sama.

Ujian darah untuk mengetahui tahap kandungan protein akan dilakukan pada peringkat pertengahan usia iaitu sebelum kebanyakan individu disahkan mengalami Alzheimer.

Pasukan penyelidik yang diketuai Sekolah Perubatan Universiti Washington membe­ritahu, ujian darah adalah lebih mudah, cepat dan murah selain boleh melakukan saringan secara rutin.

Sekurang-kurangnya 5.7 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) dilapor menderita penyakit Alzheimer pada tahun ini dan jumlah itu dijangka meningkat kepada hampir 14 juta orangmenjelang 2050.

Untuk kajian itu, lebih 400 orang daripada anggota Dominantly Inherited Alzheimer’s Network (DIAN) menyertai kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Medicine.

Kira-kira 250 responden mempunyai perubahan genetik manakala selebihnya tidak mempunyai kaitan dengan pe­nyakit itu.

“Sebelum 16 tahun gejala itu muncul dan masih dalam proses penyakit, tetapi kita dapat melihat perbezaan walaupun pada masa itu,” kata penulis bersama kajian, Stephanie Schultz. – AGENSI