Kementerian Kesihatan dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, kes terbaharu itu termasuk empat kes yang tidak mempunyai kaitan dengan lokasi penyebaran yang dinyatakan sebelum ini.

Jangkitan itu melibatkan pesakit yang tinggal di Tagore Avenue, Yishun Street 81 dan Harvey Crescent dekat Simei.

Sebanyak 34 kes lagi berlaku di Aljunied Crescent, Sims Drive, Kallang Way dan Paya Lebar Way.

Bilangan tersebut menjadikan keseluruhan jangkitan zika me­ningkat kepada 189 kes hari ini.

Pihak berkuasa memberitahu, kes terbaharu itu turut melibatkan wanita hamil kedua.

Terdahulu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong menasihatkan penduduk republik ini agar berhati-hati kerana jangkitan virus itu bukan hanya berlaku di Aljunied dan Bedok, tetapi boleh tersebar ke seluruh negara.

Dalam perkembangan ber­kaitan di Thailand, dua wanita berumur 18 dan 74 tahun disahkan dijangkiti oleh virus zika di daerah San Sai, Chiang Mai.

Portal Bangkok Post melaporkan, sebanyak tujuh orang yang dikesan dijangkiti virus itu baru-baru ini sudah pulih sepenuhnya.

Gabenor Chiang Mai, Pawin Chamniprasart berkata, seorang pelajar universiti berusia 18 tahun jatuh sakit pada Sabtu lalu sebelum doktor mengesahkan dia dijangkiti zika, semalam, begitu juga dengan pesakit warga emas itu.

Kedua-dua pesakit itu tinggal di mukim Nong Han daerah Sai Sai, tempat pesakit lain menetap sebelum ini.

Sementara itu di Indonesia, pihak berkuasa Lapangan Terbang Soekarno Hatta memulakan operasi sebanyak 14 mesin imbasan suhu badan bagi menghalang penularan zika.

Portal Tempo melaporkan, mesin itu diletakkan di Terminal 2 yang juga balai ketibaan antarabangsa.