Hanya 1,000 pegawai polis dikerah mengawal di pondok kayu dan khemah usang yang membentuk kem pelarian terbesar itu dan pihak berkuasa memerlukan tambahan anggota dua kali ganda bagi menangani masalah tersebut.

Tiga pemimpin komuniti adalah antara mereka yang terbunuh dalam kes yang disyaki berpunca daripada perebutan kuasa antara etnik Rohingya di kawasan khemah pelarian di sekitar Cox’s Bazar.

Kes pembunuhan pertama melibatkan lelaki Rohingya bernama Arifullah yang ditikam sebanyak 25 kali di jalan yang sibuk pada Jun lalu.

Dua lagi ditemukan maut di dalam khemah mereka hanya beberapa hari kemudian dipercayai angkara penyerang bertopeng.

Polis di daerah Cox’s Bazar juga sedang menyiasat 21 pembunuhan pelarian yang berlaku sejak beberapa bulan ke­be­la­kang­an ini.

Ramai etnik Rohingya di Kutupalong dan beberapa lagi kem lain berhampiran memberitahu, keganasan yang tidak terkawal dan kekurangan anggota polis menyebabkan pelarian Rohingya terus menjadi mangsa kumpulan penjenayah.

“Apabila kumpulan itu masuk ke kem, orang ramai memanggil polis, tetapi mereka hanya tiba selepas penjenayah melarikan diri,” kata seorang remaja perempuan, Runa Akter.

Remaja perempuan berusia 16 tahun itu berkata, bapanya hilang bersama seorang lagi saudaranya pada bulan lalu tetapi polis hanya memfailkan kes selepas mayat bapa saudaranya ditemukan.

Timbalan Ketua Polis Cox’ Bazar, Afruzul Haque Tutul menjelaskan, kumpulan penjenayah turut mengambil kesempatan memperoleh wang dengan me­meras ugut pelarian baharu yang terdesak mendapatkan tempat tinggal dan makanan.

Menurut beliau, rondaan telah ditingkatkan tetapi pasukannya masih tidak mencukupi dan seramai 1,500 pegawai tambahan te­lah diminta dari Dhaka.

“Sudah pasti ini satu tugas yang besar, kami berusaha sebaik mungkin untuk mengawal kawasan ini,” katanya. – AFP