Kerry berkata, perdagangan antarabangsa adalah amat pen­ting kepada AS dan TPP dapat membantu per­tumbuhan eko­nomi meskipun Trump turut men­dakwa ia menyebabkan rakyat AS kehilangan kerja.

“Selepas orang ramai mula memahaminya dengan lebih men­dalam, harapan saya adalah usa­ha ini akan medapat sokongan yang diperlukan,” katanya ke­pada pembe­rita semasa lawatan ke New Zealand hari ini.

Perjanjian tersebut melibatkan 12 negara anggota terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam yang mewakili hampir 40 peratus daripada pertumbuhan ekonomi global.

Pakatan perdagangan itu ditandatangani oleh semua negara anggota tetapi masih belum disahkan oleh penggubal undang-undang di AS.

Kerry berkata, beliau dan Pre­siden Barack Obama kekal komi­ted dengan perjanjian tersebut tetapi tidak akan cuba meluluskannya dalam sesi perundangan sebelum Trump mengambil alih jawatan sebagai Presiden AS.

“Saya percaya akan ada perdebatan kukuh mengenainya dan ada manfaat yang akhirnya ramai akan melihat perjanjian ini sebagai satu bentuk usaha yang berbeza,” jelasnya.

Kerry bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa TPP bertujuan untuk mewujudkan benteng ekonomi terhadap kebangkitan China di rantau Asia Pasifik.

“Ini bukan soal China. AS me­ngalu-alukan kebangkitan negara yang besar seperti China dan kami telah menyatakannya secara terus kepada Presidennya, Xi Jinping.

“Kami bukan mahu mewujudkan persaingan atau konflik, kami mencari usaha kerjasama,” katanya.– AFP