Sekumpulan 30 jurutera muda dari industri kereta dan aero­angkasa mengusahakan projek itu yang dibiayai oleh sejumlah pelabur termasuk anak syarikat Toyota sejak tahun 2014.

Ketua Cartivator, Tsubasa Nakamura yakin, meskipun kende­raan yang dipandu oleh manusia digelar SkyDrive itu masih di pe­ringkat awal, namun beliau menjangkakan satu prototaip yang dipandu manusia akan diuji pe­­nerbangan pada akhir tahun de­pan sebagai persiapan untuk me­nya­lakan obor Sukan Olimpik.

Ujian itu adalah bagi melihat kemampuan kereta itu melakukan pendaratan dan ‘terapung’ di permukaan tanah serta memastikan reka bentuk kenderaan itu sesuai bagi tempoh penerbangan yang lebih panjang dan ketinggian maksimum yang boleh dicapai.

Kereta yang dipandu oleh manusia digelar SkyDrive itu akan memiliki empat set kipas berukuran 2.9 meter panjang dan 1.3 meter lebar, sekali gus menjadi kereta terbang elektrik terkecil dunia dan disyorkan untuk kegunaan di bandar kecil.

Jurutera Cartivator menyasarkan untuk mengkomersialkan kenderaan itu pada tahun 2025.

Pada bulan lalu, Syarikat Toyoto Motor dan anak syarikatnya bersetuju untuk melabur 42.5 juta yen (RM1.64 juta) dalam projek tiga tahun akan datang. Kumpulan itu juga dikatakan sedang berusaha untuk menambah baik reka bentuk dan melihat lebih banyak pelabur dalam projek berkenaan.

Sebelum ini, syarikat perkhidmatan per­kongsian pengangkutan, Uber mengumumkan untuk melancarkan sistem kereta terbang bagi memudahkan orang ramai bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain khusus­nya di kawasan bandar menjelang tahun 2020 di Dallas-Fort Worth, Texas dan Dubai.

Bagaimanapun pembuat kereta terbang itu gagal menyakinkan orang ramai mengenai penyeliaan dan tahap keselamatan. - AFP