Perkara itu dinyatakan Menteri Kewangan Britain, Philip Hammond menerusi ucapan belanjawan yang dijangka dibentang Rabu ini dengan mengumumkan peruntukan sebanyak 75 juta pound (RM411 juta) bagi pembiayaan ke­pintaran buatan dan rancangan kereta tanpa pemandu dalam tempoh tiga tahun lagi.

Hammond juga akan mengumumkan pindaan kepada peraturan yang membolehkan industri kereta tanpa pemandu yang dijangka bernilai 28 bilion pound (RM153 bi­lion) menjelang 2035 berkembang.

Menurut kandungan ucapan belanjawan yang dikeluarkan pe­jabatnya hari ini, undang-undang itu membolehkan kereta tanpa pemandu berada di jalan raya dalam masa kurang daripada tiga tahun.

Hammond yang berdepan tekanan untuk membentangkan belanjawan yang menarik selepas perdebatan Brexit dengan rakan sejawatnya di Kabinet juga akan mengumumkan dana sebanyak 400 juta pound (RM2.1 bilion) kepada syarikat yang menyediakan lebih banyak kemudahan pengecas kenderaan itu di seluruh negara.

Orang ramai yang ingin membeli kenderaan elektrik juga boleh meng­akses pembiayaan ketika Bri­tain berhasrat bergerak ke arah sifar pengangkutan tanpa asap.

Dengan fokus ke arah industri teknologi, kerajaan juga merancang untuk membelanjakan 75 juta pound (RM411) bagi menyokong syarikat membangunkan kepintaran buatan dan 160 juta pound (RM877 juta) lagi untuk teknologi 5G yang dipercayai penting untuk pelaksanaan industri kereta tanpa pemandu.

Bagaimanapun, menteri konservatif itu mungkin dinilai menerusi dasar perbelanjaan sosialnya, terutamanya dasar perumahan berikutan kebakaran Menara Grenfell yang membunuh 71 orang. – AFP