Industri teknologi automatif California mengesahkan bahawa Apple telah menyatakan minat untuk mengeluarkan kenderaan pandu sendiri.

Perkara ini sekali gus mengetepikan dakwaan orang ramai yang berpendapat kereta Apple itu ha­nyalah mitos.

Pada pertengahan bulan Jun, Ketua Eksekutif, Tim Cook mendedahkan yang syarikatnya kini membangunkan perisian pandu sendiri dan merupakan salah satu daripada Projek Titan mereka.

Cook mengambarkan kenderaan itu sebagai sebuah kereta elektrik, pandu sendiri dan mempunyai rekaan futuristik.

Dia juga memberitahu, Apple sudah memperoleh lesen dari Jabatan Kenderaan Bermotor California bagi membolehkan kende­raan itu diuji di jalan raya.

Para penganalisis berpendapat, kereta pandu sendiri itu bakal menembusi pasaran antarabangsa secara meluas dan mempunyai potensi tinggi dalam dunia automotif.

Penganalisis Morgan Stanley berkata, Apple mempunyai beberapa pilihan untuk mengadakan kerjasama sama ada dengan syarikat saham, syarikat kenderaan sewa atau syarikat pengeluar kereta.

“Pemacu perisian ini mungkin sesuatu yang baharu dalam dunia automotif, namun Apple mempunyai kemampuan untuk menghasilkan kenderaan penuh atau menyediakan platform kepada pihak ketiga,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, usaha itu memerlukan Apple membelanjakan banyak wang dan masa.

Laporan tidak rasmi mendedahkan, Apple menyewa sejumlah kenderaan Lexus daripada sebuah syarikat kereta sewa Amerika Syarikat, Hertz untuk menguji perisian baharunya itu.

Apple dilaporkan mempu­nyai simpanan RM1.073 trilion (AS$250 bilion). – AFP