BBC melaporkan, beliau turut menyokong perjanjian untuk membiayai agensi Persekutuan selama tiga minggu.

Pengumuman itu juga me­nyaksikan Trump tidak me­nerima peruntukan AS$5.7 bilion (RM23.3 bilion) seperti mana yang dimahukannya daripada Kongres untuk membina tembok di sempadan AS-Mexico, sekali gus memberi kemenangan politik kepada Parti Demokrat.

Bercakap di Rose Garden, Trump berkata, beliau amat bangga untuk mengumumkan perjanjian membiayai kerajaan sehingga 15 Februari dan akan menandatangani rang undang-undang dalam waktu terdekat bagi membuka semula jabatan kerajaan yang ditutup sejak 22 Disember lalu.

Antara lain persetujuan itu termasuk pemberian gaji kepada le­bih 800,000 penjawat awam yang ‘dikerah’ untuk bekerja dalam tempoh shutdown.

“Saya cukup bangga untuk mengumumkan bahawa kita berjaya mencapai kesepakatan untuk meng­akhiri shutdown dan membuka kembali operasi agensi kerajaan Persekutuan,” katanya, semalam.

Sebaik sahaja mengumumkan pembukaan semula kerajaan, Trump turut menyentuh isu pembinaan tembok sempadan berkata, beliau akan me­ng­umumkan perintah darurat sekiranya keadaan memerlukan.

Trump berkata, shutdown akan disambung semula pada 15 Februari ini sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan hasil rundingan keselamatan di sempadan yang dibuat jawatankuasa persidangan antara Kong­res dan Senat.

“Selepas 15 Februari, saya akan sekali lagi memujuk Dewan Kongres yang kini dikuasai Parti Demokrat untuk meluluskan pembiayaan dana bagi pembinaan tembok itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap kepada pemimpin Senat Demokrat, Chuck Schumer percaya, kejayaan itu adalah satu pengajaran kepada Trump.

“Trump ingat beliau dapat mematahkan Demokrat, tetapi sebenarnya tidak,” katanya. – AGENSI