Perkara itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Australia di sini hari ini.

Mahkamah yang sama turut mengarahkan supaya satu pilihan raya diadakan bagi menggantikan kerusi Joyce di New England iaitu sebuah kawasan yang terletak di negeri New South Wales.

Apa yang pasti, perkara itu dianggap kritikal bagi kerajaan kerana beliau berada di dalam Dewan Rakyat menerusi gabu­ngan Parti Liberal-Nasional dike­tuai Perdana Menteri, Malcolm Turnbull yang menguasai Parlimen dengan kelebihan satu kerusi.

Ini sekali gus memaksa beliau mendapatkan sokongan satu dari­pada tiga ahli Parlimen untuk kekal sebagai kerajaan minoriti dalam Parlimen.

Menurut CNN, keputusan ter­sebut menyaksikan pilihan raya kecil mungkin diadakan pada 2 Disember ini, satu detik berbahaya kepada Turnbull selain memungkinkan pembangkang mengadakan undi tidak percaya yang membawa kepada pilihan raya umum.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Turnbull berkata, apa yang diputuskan adalah jelas satu keputusan yang bukan diharap-harapkan sambil menafikan kerajaannya berdepan ketidaksta­bilan.

Selain Joyce, enam ahli politik lain turut berdepan senario sama selepas kerakyatan mereka didedahkan beberapa bulan lalu.

Lapor BBC, empat daripada mereka, Fiona Nash, Malcolm Roberts, Larissa Waters dan Scott Ludlam dilantik meng­anggotai Senat.

Dua lagi ahli politik iaitu Senator Matt Canavan dan Senator bebas, Nick Xenophon pula masih disiasat.

Joyce yang juga pemimpin Parti Nasional dilahirkan di Austra­lia, namun memiliki kerakyatan New Zealand di sebelah bapanya.

Beliau bagaimanapun men­dakwa tidak menyedari meme­gang kerakyatan New Zealand.

“Saya berterima kasih kepada mahkamah dan menghormati keputusan mereka.

“Saya tidak mempunyai sebab untuk percaya bahawa seperti yang anda tahu, saya memiliki kewarganegaraan lain selain Australia,” kata Joyce kepada pemberita.

Peraturan dua kerakyatan di­perkenalkan dalam Perlembagaan Australia pada 1901 bagi memastikan ahli Parlimen setia kepada negara ini.

Bagaimanapun, beberapa kritikan timbul mengatakan peraturan tersebut ketinggalan dalam realiti dunia moden hari ini apabila 50 peratus daripada populasi penduduk Australia lahir di luar negara atau merupakan anak kepada pendatang yang bermastautin di sini. – AGENSI