Portal berita Bangkok Post melaporkan, tarikh itu diumumkan oleh Setiausaha Divisyen Jenayah Untuk Pemegang Kedudukan Politik, Teerathai Charoenwong selepas Pejabat Peguam Negara memfailkan kertas pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri tersebut, bersama 20 kotak dokumen.

Portal berita Al-Jazeera melaporkan, kertas pendakwaan itu menuduh Yingluck gagal memantau skim subsidi beras itu sehingga menyebabkan kerugian berbilion-bilion dolar.

Teerathai berkata, keputusan untuk menerima kertas pendakwaan tersebut akan dibuat pada 19 Mac ini bagi menentukan tindakan lanjut yang akan diambil.

Mahkamah Agung akan membentuk panel yang dianggotai oleh sembilan hakim dan menentukan sama ada untuk menerima kes itu pada tarikh berkenaan.

Pertuduhan itu difailkan sebulan selepas Yingluck digulingkan oleh kerajaan tentera, yang menyebabkan beliau diharamkan daripada menyertai politik selama lima tahun.

Yingluck merupakan Perdana Menteri pertama wanita Thailand selepas beliau menang Pilihan Raya Umum pada Julai 2011, namun hanya mentadbir negara ini selama tiga tahun sebelum Mahkamah Perlembagaan mengarahkan beliau berundur daripada jawatan itu pada Mei tahun lepas atas kesalahan menyalahgunakan kuasa.