Pakar di syarikat itu menggunakan teknologi penyamaran optikal untuk mewujudkan ilusi ke atas kereta berkuasa hidrogen yang dikenali sebagai F-Cell.

Mereka menutup bahagian kiri kenderaan tersebut dengan kepingan LED, manakala di bahagian kanannya pula diletakkan kamera Refleks Lensa Tunggal Digital (DSLR).

Kamera itu berperanan untuk merakamkan imej di bahagian sebelah kanan kereta itu dan videonya disiarkan di kepingan LED yang menutupi bahagian kiri kenderaan itu.

Kaedah itu menyebabkan orang ramai yang melihat kenderaan itu dari sebelah kiri akan melihat pemandangan di sebelah kanan kenderaan itu yang dipancarkan pada kepingan LED tersebut.

Pendekatan pintar ini diterajui saintis dari Universiti Tokyo dan kaedah sama turut digunakan pada skrin biru televisyen dan pembuat filem Hollywood.

Dalam video promosi F-Cell bagi kenderaan halimunan itu, orang ramai terpegun dan terkejut melihatnya ketika ia dibawa ke lebuh raya Hamburg dan jambatan Bavaria di Jerman.

Bagaimanapun, sesetengah pengguna di YouTube yang menyaksikan video itu bimbang kereta halimunan itu akan menyebabkan berlakunya kemalangan, namun beberapa orang lagi berpendapat ia membolehkan seseorang itu meletakkan kenderaan di mana-mana tanpa bimbang di saman.

F-Cell boleh melakukan perjalanan sehingga 402 kilometer menggunakan enjin elektrik dan Mercedes-Benz mendakwa mereka telah bersiap sedia untuk membuat pengeluaran kenderaan itu secara besar-besaran.

Namun penganalisis berpendapat, kereta berkuasa hidrogen tidak mungkin dapat dikeluarkan secara komersial sehingga 2015 ekoran kosnya yang tinggi. - AGENSI