TOKYO 31 Ogos - Kementerian Pertahanan Jepun hari ini mengemukakan permohonan bajet terbesar yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dengan tumpuan terhadap peningkatan pertahanan peluru berpandu dan sokongan terhadap kawalan udara ekoran ancaman berterusan dari Korea Utara dan China.
Kementerian berkenaan memohon 5.298 trilion yen (RM193.3 bilion) bagi tahun fiskal akan datang bermula April iaitu peningkatan tahunan berterusan yang ketujuh dan melebihi 2.1 peratus berbanding tahun lalu.
Antara senarai barangan yang akan dibeli kementerian itu ialah dua set sistem pertahanan peluru berpandu buatan Amerika Syarikat (AS), Aegis Ashore bernilai 234.3 bilion yen (RM8.64 juta) untuk mempertahankan negara itu daripada ancaman peluru berpandu dan nuklear Korea Utara.
Selain itu kementerian berkenaan mahu membeli enam lagi jet pejuang F-35 dan dua radar E-2D Hawkeye serta pesawat maritim selain merancang untuk meluaskan pasukan rondaan tentera udara yang mempunyai 830 anggota melalui penambahan 30 anggota.
Permohonan bajet itu dikeluarkan menjelang kajian semula tahunan Kementerian Pertahanan yang menyebut bahawa Korea Utara masih memberi ‘ancaman serius dan akan berlaku’ walaupun ketegangan diplomatik berjaya dikendurkan awal tahun ini.
Selepas sidang kemuncak bersejarah antara Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Singapura pada 12 Jun lalu, hanya sedikit perkembangan yang berlaku dalam isu pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, hubungan Washingtong-Pyongyang dilihat semakin buruk dengan Trump secara tiba-tiba membatalkan lawatan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yang telah dirancang ke Korea Utara.
Dalam pada itu, kajian semula kementerian negara ini juga memberi tumpuan terhadap peningkatan kuasa tentera China dengan menyatakan Beijing telah mencetuskan ‘kebimbangan keselamatan serius di rantau itu dan masyarakat antarabangsa termasuk Jepun’.
Tokyo amat berhati-hati terhadap Beijing yang dilihat oleh beberapa negara di rantau berkenaan semakin agresif menuntut hak kedaulatan di beberapa perairan termasuk pertikaian dengan Jepun tentang beberapa pulau kecil di Laut China Timur.
Pada Mac lalu China mengumumkan peningkatan bajet pertahanan sebanyak 8.1 peratus iaitu 1.11 trilion yuan (RM720 bilion) untuk tahun ini dan usaha pemodenan ketenteraannya yang terbesar di dunia. – AFP