Namun isu pendatang Amerika Tengah menuju ke Amerika Syarikat (AS) bukan perkara baharu malah ketika pentadbiran bekas Presiden Barack Obama iaitu dalam tempoh tiga bulan pada musim panas 2014, seramai 70,000 kanak-kanak pendatang tanpa ditemani orang dewasa berada di sempadan AS-Mexico.

Mereka tiba dengan beberapa keluarga yang membawa anak masing-masing kebanyakannya dari Honduras, Guatemala dan El Salvador yang mahu memohon suaka.

Cuma isu pendatang Amerika Tengah kali ini menjadi perhatian dunia dan media apabila kumpulan pendatang berkena­an bergerak secara beramai-ra­mai dengan berjalan kaki me­nuju ke AS.

Kumpulan pendatang itu me­nyifatkan pergerakan secara ter­buka dan dalam kumpulan yang ramai adalah lebih selamat memandangkan mereka yang bergerak secara kumpulan kecil sering menjadi sasaran penculikan oleh kumpulan samseng yang menjadikan mereka mangsa perdagangan manusia manakala alasan lain termasuklah menarik perhatian politik dunia tentang kesengsaraan yang perlu ditempuh pendatang.

Bermula dengan 1,000 pendatang Honduras yang memulakan perjalanan secara beramai-ramai pada 13 Oktober lalu, kini hampir 7,000 pendatang dari Guatemala dan El Salvador menyertai mereka menuju destinasi yang sama iaitu AS melalui sempadan Mexico.

Kebanyakan pendatang Honduras berkata, mereka lari dari negara sendiri kerana diancam bunuh oleh kumpulan samseng di negara sendiri yang mempunyai jenayah keganasan, perang dadah dan rasuah yang berleluasa selain kadar kes pembunuhan tertinggi di dunia.

Malangnya mereka tidak dialu-alukan kerajaan pimpinan Pre­siden Donald Trump walaupun isu pendatang ini telah memberi keuntungan dan ‘modal’ terbaik untuk bilionair itu memancing undi rakyat AS menjelang pilihan raya Kongres minggu ini.

Mexico sendiri telah menawarkan permit kerja sementara kepada pelarian terlibat yang mendaftar untuk suaka melalui skim Estas en Tu Casa (Kamu Berada di Rumah Sendiri).

Menerusi skim tersebut pendatang perlu menetap di Chiapas dan Oaxaca untuk membolehkan mereka diberi taraf pelarian dengan memiliki kad pengenalan sementara, perubatan dan pendidikan.

Walau bagaimanapun kumpulan pendatang yang kini berada di Arriaga, Mexico iaitu kira-kira 1,609 kilometer dari sempadan utara Mexico-AS tetap berdegil mahu meneruskan perjalanan.

Meskipun diancam dengan pel­bagai tindakan daripada Trump, termasuk ditembak oleh tentera AS, pendatang tersebut tetap mahu memasuki AS sebagai pemohon suaka.

Ini kerana tanpa sebarang dokumen, undang-undang AS membenarkan mana-mana individu untuk berbuat sedemikian.

Mereka hanya perlu memaklumkan kepada pegawai sempadan AS bahawa mereka lari dari penindasan dan keganasan di negara masing-masing sekali gus melayakkan mereka untuk ditemuduga dan memulakan pro­ses permohonan suaka.

Di bawah undang-undang an­tarabangsa mereka dikategorikan sebagai pelarian.

Malah jika mereka memasuki AS secara haram, mereka masih layak mengemukakan alasan dan memohon suaka namun jika mereka hanya mahu mendapatkan kehidupan yang lebih baik atau jika melarikan diri disebabkan kemiskinan maka mereka tidak diiktiraf sebagai pelarian dan tidak diberi perlindungan yang sama.

Walau bagaimanapun di sempadan Mexico-AS sekarang, be­ri­bu-ribu pendatang terpaksa me­nunggu sehingga berminggu-minggu di pintu masuk pelabuhan sebelum dibenarkan mema­suki AS dan memohon suaka.

Malah mereka diugut oleh pegawai sempadan kedua-dua negara yang tidak membenarkan mereka memohon suaka di AS manakala pegawai Mexico menangkap pendatang ini dan mengancam untuk menghantar mereka pulang selepas mereka cuba memasuki sebuah pelabuhan di AS.