BBC melaporkan, kembar siam berusia 15 bulan yang dikenali sebagai Nima dan Dawa Pelden itu juga berkongsi satu hati dan mungkin usus.

Kembar itu dibawa ke Melbourne Australia bersama ibu mereka untuk menjalani pembedahan pada Oktober lalu, namun ditangguh bagi membolehkan Nima dan Dawa meningkatkan tahap nutrisi dalam badan.

Terdahulu, para doktor me­ngesahkan kembar tersebut sudah bersedia untuk dipisahkan.

Kira-kira 18 doktor pakar da­lam dua kumpulan mengambil bahagian dalam prosedur pembedahan tersebut yang berlangsung selama lebih kurang enam jam.

Kelahiran kembar siam disifatkan sebagai kes jarang berlaku dan ia terjadi satu dalam setiap 200,000 kelahiran serta 40 hingga 60 peratus daripa­da mereka meninggal dunia ketika dilahirkan.

Hanya beberapa kembar siam berjaya dipisahkan di seluruh dunia setiap tahun.

Dalam pada itu, Nima dan Dawa pada kedudukan berdepan antara satu sama lain, tidak boleh duduk namun boleh berdiri jika mereka bergerak serentak.

Ketua pasukan bedah, Dr. Joe Crameri sebelum ini berkata, mereka akan cuba memisahkan hati dan memeriksa sekiranya kembar tersebut turut berkongsi usus.

Kembar tersebut dan ibu mereka dibawa ke Australia menerusi badan kebajikan Yayasan Kanak-kanak Pertama dan di­jang­ka pulang semula ke Bhutan selepas prosedur pembedahan selesai.