Kembar tidak seiras itu, Emilie Falk dan Lin Backman terpisah oleh jarak sejauh 40 kilometer sejak 29 tahun dahulu.

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalani oleh kedua-dua pasangan kembar itu dua bulan selepas bertemu pada Januari tahun lalu, menunjukkan 99.98 peratus mereka adalah adik-beradik.

Falk dan Backman diambil sebagai anak angkat secara berasingan di sebuah rumah anak yatim di Semarang, utara Indonesia oleh pasangan Sweden, namun tiada dokumen menunjukkan mereka merupakan kembar.

Kedua-dua mereka tinggal di selatan Sweden dan bekerja sebagai guru serta berkahwin pada hari yang sama selang setahun.

Malah mereka juga pernah menari lagu You and Me nyanyian Lifehouse pada majlis perkahwinan mereka.

Falk berkata, sejak berkahwin dua tahun lalu, dia mula berfikir tentang keluarganya dan ibunya memberitahu mengenai pasangan kembarnya.

"Saya mula mencari Lin dengan bermula menyemak senarai kanak-kanak yang menjadi anak angkat kepada keluarga Sweden sebelum menjumpainya di dalam Facebook.

"Saya menyatakan kepada Lin yang saya lahir pada 18 Mac 1983 di Semarang dan ibu kandung saya bernama Maryati Rajiman sebelum dia membalas maklumat itu sama sepertinya," katanya.

Ketika ditanya jika Falk berharap dapat menemui kembarnya lebih awal, dia menjawab, tiada sebab untuk bersedih dengan sesuatu yang dia tidak tahu.

"Saya hanya berasa gembira selepas menemuinya," katanya. - AGENSI