Jurucakap Pengawal Pantai Bangladesh, Saiful Absar yang memetik keterangan kumpulan 14 orang nelayan berkata, kapal Tentera Laut Myanmar sebenar­nya menceroboh perairan Bangladesh sebelum melepaskan tembakan ke arah mangsa.

Katanya, empat daripada mang­sa terpaksa dikejarkan ke hospital akibat kecederaan ditembak.

“Nelayan-nelayan itu men­dakwa Tentera Laut Myanmar melepaskan tembakan tanpa memberikan amaran.

“Empat nelayan yang ditembak di tangan dan kaki dirawat di sebuah hospital di daerah Cox’s Bazar,” katanya.

Saiful berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan yang me­nyatakan Tentera Laut Myanmar menceroboh perairan negara ini.

Insiden itu berlaku ketika etnik Rohingya di negeri Rakhine, berlindung di Bangladesh selepas tentera Myanmar me­lancarkan tindakan kekerasan terhadap mereka sejak dua bulan lalu.

Tindakan itu dilakukan tentera Myanmar atas alasan memburu anggota kumpulan ‘militan’ yang menyerang pos polis di sempadan yang meng­akibatkan sebanyak sembilan anggota pasukan keselamatan terbunuh pada bulan Oktober lalu.

Sepanjang tempoh mence­ro­boh kampung-kampung etnik Ro­­hingya, beratus-ratus etnik minoriti Islam itu terbunuh, diperkosa, ditahan, dibakar hidup-hidup dan kediaman mereka dimusnahkan oleh tentera Myanmar yang tidak berhati perut.

Ketika ini, lebih 230,000 etnik Rohingya berada di Bangladesh dengan kebanyakannya menetap secara haram dengan hanya 32,000 orang mendaftar sebagai pelarian. – AFP