PUTERI DIANA
PUTERI DIANA 

Daily Mail melaporkan, Robin dan Jack Firestone mendakwa mereka masih hidup dalam ketakutan selepas melaporkan kehadiran dua kereta misteri di tempat kejadian.

Puteri Diana, 35, dan kekasihnya, Dodi Fayed, 42, serta pemandu mereka, Henri Paul, 41, meninggal dunia dalam nahas di Terowong Pont de’ l’Alma, Paris pada 31 Ogos 1997.

Firestone memberitahu Express, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke hotel ketika memandu ke terowong itu, hanya beberapa minit selepas kemalangan.

Jelasnya, dia dan Robin melihat dua kereta ‘formal’ dan diletakkan secara pelik di depan Mercedes S280.

Tetapi pada keesokan harinya, mereka menyedari bahawa individu yang berada di dalam Mercedes itu adalah Puteri Diana.

Mereka kemudiannya bertemu dengan seorang pegawai polis Perancis untuk melaporkan mengenai kereta misteri yang berada di lokasi kejadian itu.

Robin berkata: “Kami beritahunya kami berada di dalam terowong itu. Tanpa teragak-agak dia (pegawai polis) berkata pihaknya sudah mempunyai cukup saksi. Kami terkejut (dengan jawapan itu) kerana mereka tidak mahu bercakap dengan saksi.”

Mereka mendakwa telah dihentikan daripada memberikan keterangan oleh pihak berkuasa Perancis dan Britain kerana begitu kontroversi.

Mereka juga tidak dipanggil untuk inkues pertama yang diadakan di London pada Januari 2007.

Robin berkata, dia dan Firestone masih hidup dalam ketakutan kerana apa yang mereka lihat atau saksikan.

“Saya tidak fikir kematian Puteri Diana adalah kemalangan. Saya berharap satu hari nanti, Putera William dan Putera Harry mahu bertanggungjawab untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada ibunya,” katanya.