Kejadian berlaku ketika bas yang dinaiki sekurang-kurangnya 37 penumpang dalam perjalanan menuju ke pusat percutian di wilayah Sukabumi, Jawa Barat.

Kenderaan itu dilihat dipandu laju ketika menuruni bukit sebelum hilang kawalan dan menjunam ke dalam jurang sedalam 10 meter.

“Pihak hospital awam melaporkan menerima sekurang-kurangnya 21 mayat,” kata ketua polis tempatan Nasriadi kepada AFP sambil menambah pihaknya masih mengumpulkan maklumat mereka yang cedera.

Mangsa yang cedera telah dihantar ke beberapa hospital tempatan.

Polis mensyaki kemalangan itu berlaku kerana brek bas gagal berfungsi selepas mendapati sijil layak untuk bas beroperasi luput pada 2016.

Bas itu merupakan sebahagian daripada empat buah bas yang menyertai lawatan dari Jakarta ke kawasan kegiatan berakit di Pelabuhan Ratu, Sukabumi.

Penumpang yang menaiki bas lain yang selamat tiba di destinasi memberitahu polis mereka melihat asap keluar dari enjin bas sebelum memulakan perjalanan.

Pihak berkuasa telah berulang kali memberikan amaran bahawa laluan yang menyaksikan kemalangan itu berlaku tidak sesuai untuk bas kerana jalannya sempit dan mempunyai beberapa selekoh yang tajam.

Pada Jumaat, sebuah lagi bas yang membawa 21 orang turut mengalami di kawasan yang sama menyebabkan seorang maut dan selebihnya cedera.

Kemalangan melibatkan kenderaan adalah perkara biasa di Indonesia kerana bas dan keretapinya telah usang dan tidak diselenggara. - AFP