Tindakan untuk membentuk perkampungan seperti kem be­risiko untuk semarakkan ke­tegangan.

PBB menegaskan penduduk Rohingya perlu dibenarkan kem­bali ke tempat asal dan meneruskan kehidupan mereka.

Akhbar Global New Light of Myanmar dalam laporannya hari ini mendakwa kerajaan Myanmar akan mewujudkan tiga buah kem penempatan Rohingya, tawaran yang pertama seumpamanya sejak krisis kemanusiaan yang kini memasuki hari ke-16.

Tiga buah khemah itu akan diwujudkan dalam daerah Maungdaw dengan pelarian akan me-
nerima bantuan kemanusiaan dan perubatan da­ripada pekerja Palang Merah.

Sementara itu, hampir 300,000 etnik Rohingya me­ninggalkan Myanmar dan me­larikan diri ke Bangladesh dalam tempoh 15 hari sejak berlakunya keganasan di Rakhine.

Menurut jurucakap PBB, Joseph Tripura, jumlah tersebut menyaksikan pertambahan sebanyak 20,000 etnik Rohingya memasuki negara ini setiap hari.

“Kira-kira 290,000 etnik Rohingya tiba di negara ini sejak 25 Ogos lalu dan jumlah itu dijangka terus bertambah apabila lebih ramai Rohingya ditemukan di kawasan perkampungan.

“Kebanyakan Rohingya tiba di negara ini dengan berjalan kaki atau menaiki bot sejauh 278 kilo­meter dari pintu sempadan Myanmar,” katanya.

Pada Rabu lalu, PBB merekodkan lebih 300 buah bot tiba di Bangladesh dari sempadan Myanmar.

Di sebalik jumlah pelarian etnik Rohingya yang semakin meningkat, negara ini turut melahirkan kebimbangan mengenai kem-kem perlindungan yang semakin sesak.

Menurut PBB, kebanyakan pelarian Rohingya yang memasuki negara ini mengalami masalah kesihatan, keletihan dan terdesak untuk mendapatkan tempat perlindungan, makanan dan air.

Sementara itu, Pertubuhan Palang Merah meningkatkan ope­rasi mereka di kawasan yang dilanda keganasan selepas PBB mengantung aktiviti bantuan apabila kerajaan Myanmar mendakwa agensi kemanusiaan itu membantu pejuang Rohingya.

“PBB dan pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa tidak dialu-alukan di Rakhine dan mereka tidak dapat beroperasi dan menjamin keselamatan ka­kitangan serta sukarelawannya,” kata Joy Singhal daripada Persekutuan Pertubuhan Palang Merah dan Bulan Sabit (IFRC).

Para pekerja bantuan bimbang terhadap kebanyakan penduduk Rohingya tidak mendapat makanan apabila Program Makanan Sedunia (WFP) yang menyediakan makanan dan bantuan tunai tidak dapat beroperasi.– Agensi