Nyamuk pembawa parasit ma­laria berevolusi dengan pantas dari aspek kemampuan me­ningkatkan kekebalan ke­pada racun serangga dan baka nya­muk ini kini tersebar di seluruh Afrika sehingga menyebabkan berjuta-juta nyawa dalam bahaya.

Bagi mengatasi ancaman ter­se­but, saintis telah menghasilkan kelambu dirawat dengan bahan kimia dikenali sebagai piperonil butoksida, yang berfungsi menyekat mekanisme pertahanan semula jadi nyamuk anopheles terhadap piretroid racun serangga standard.

Kajian selama dua tahun yang melibatkan lebih 15,000 kanak-kanak di Tanzania mendapati kelambu jenis baharu itu telah mengurangkan kes malaria sebanyak 44 peratus dan masing-masing 33 peratus pada tahun pertama dan kedua berbanding kelambu yang hanya menggunakan piretroid.

Penemuan kajian itu telah diterbitkan dalam The Lancet.

Hasil yang memberangsangkan itu telah mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan kelambu jenis berkenaan secara meluas.

Ketua Penyelidik London School of Hygiene and Tropical Medicine, Dr. Natacha Protopopoff berkata, usaha ini pen­ting dalam mengatasi kekebalan nyamuk terhadap racun serangga, yang menjadi ancaman kepada kemajuan dalam melawan malaria.

“Penggunaan kelambu yang dirawat dengan racun serangga telah membantu mengurangkan kematian akibat malaria sejak bertahun-tahun lalu tetapi kemajuan dalam melawan penya­kit tersebut terhenti sejak kebelakang­an ini,” katanya.

Angka terkini WHO menunjukkan malaria menjangkiti kira-kira 216 juta orang pada 2016, mening­kat lima juta berbanding tahun sebelumnya, serta membunuh 445,000 orang iaitu lebih kurang sama seperti pada 2015.

Kebanyakan kematian adalah dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun di kawasan paling miskin di sub-Sahara Afrika. – REUTERS