Pihak berkuasa menemukan perakam data penerbangan dari bangkai pesawat yang terhempas di sebuah padang berhampiran lapangan terbang Kathmandu.

Beberapa saksi mengambarkan bagaimana pesawat yang membawa 71 penumpang itu bergegar dengan kuat dan penumpang menangis serta me­minta tolong sebelum pesawat terhempas.

Seorang mangsa terselamat, Keshav Pandey menceritakan detik cemas selepas pesawat terhempas.

“ Selepas pesawat itu terhem­pas, saya cuba untuk keluar apabila pesawat terbakar tetapi gagal kerana kaki saya tersekat.

“Ketika itu, saya berada di se­belah pintu kecemasan dan berjaya keluar selepas pasukan keselamatan tiba,” katanya.

Bagaimanapun, pengarah la­pangan terbang Raj Kumar Chhetri memaklumkan bahawa masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca nahas.

Rakaman menunjukkan pusat kawalan udara pada mulanya mengarahkan juruterbang untuk mendarat dari arah selatan.

Namun kedengaran beberapa saat selepas pusat kawalan me­ngarahkan pula pesawat itu menukar arah mendarat ke arah utara.

Pakar penerbangan Britain, Andrew Blackie yang menyemak rakaman itu berkata , keadaan itu jelas menunjukkan terdapat kekeliruan pusat trafik udara yang menentukan ke mana landasan pesawat itu sepatutnya mendarat – AGENSI