Perkara itu didedahkan oleh Pejabat Koordinasi Hal Eh­wal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) dalam laporan yang diterbitkan dengan sekurang-kurangnya lima serangan dicetuskan rejim tersebut setiap minggu bermula awal tahun ini, berban­ding tiga serangan bagi tempoh sama pada tahun lalu dan dua (2016).

Laporan untuk tempoh 20 November hingga 3 Disember lalu itu juga mendedahkan, pihak berkuasa Israel telah memusnahkan atau merampas 33 bangunan milik penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, termasuk dua struktur bangunan yang menempatkan bantuan kemanusiaan.

Kesemua tindakan zalim itu dilakukan kononnya bangunan-bangunan tersebut tidak memiliki permit.

OCHA seperti dipetik portal Presstv sebagai berkata, kemusnahan tersebut mengakibatkan 16 orang awam termasuk enam kanak-kanak hilang tempat perlindungan manakala 226 yang lain turut terjejas.

Menurut laporan berkenaan, sekurang-kurangnya 11 sera­ngan dilakukan oleh penduduk Yahudi di penempatan haram di Tebing Barat terhadap penduduk Palestin dalam tempoh sama, menyebabkan kemusnahan hartanah milik Palestin.

Selain itu, sebanyak 85 tanaman yang kebanyakannya pokok Zaitun di perkampungan Turmusayya berdekatan Ramallah milik penduduk Palestin turut dirosakkan oleh penduduk Yahudi berkenaan.