KAUNSELOR Myanmar, Aung San Suu Kyi menyampaikan ucapannya ketika Ceramah Singapura ke-43 di Singapura hari ini. - AFP

“Ancaman aktiviti pengganas merupakan punca permulaan peristiwa yang membawa kepada krisis kemanusiaan di Rakhine kekal nyata dan masih ada sehingga hari ini.

“Selagi ancaman ini tidak ditangani dengan serius, keganasan antara kaum akan tetap berlaku. Ia adalah ancaman yang boleh membawa kesan buruk, bukan hanya untuk Myanmar tetapi juga negara-negara lain di rantau ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Suu Kyi menyatakan tempoh penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya ke negara itu, hanya boleh diputuskan oleh Bangladesh.

Menurut beliau, terserah kepada Bangladesh untuk memutuskan seberapa cepat proses itu dapat dilakukan selain Suu Kyi menyalahkan Dhaka atas kelewatan pelaksanaan program penghantaran pulang tersebut.

“Adalah sukar bagi kami untuk menetapkan tempoh masa tertentu dengan sendirinya kerana kami memerlukan kerjasama daripada Bangladesh untuk melaksanakannya.

“Oleh itu, Bangladesh mesti segera membuat keputusan bagaimana mereka mahu melaksanakan proses penghantaran pulang berkenaan,” kata Suu Kyi ketika ceramah yang dianjurkan oleh Institut ISEAS-Yusof Ishak bertajuk ‘Peralihan Demokratik Myanmar: Cabaran dan Masa Hadapan’. - REUTERS/AFP