Jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert, berkata, insiden sebenar masih belum jelas, tetapi warga AS yang berkhidmat di Cuba terpaksa kembali ke Washington atas alasan masalah kesihatan yang tidak mengancam nyawa.

Nauert berkata: “Kami terpaksa membawa beberapa warga AS pulang,

“Tiada jawapan pasti tentang sumber atau punca insiden ber­kenaan. Pelbagai gejala fizikal timbul dalam kalangan warga AS yang bekerja untuk kerajaan dan kami memandang serius serta berusaha menyiasat insiden ini,” kata beliau.

Menurut Nauert, AS mula men­getahui mengenai isu di kedutaan itu akhir tahun lalu.

Difahamkan dua diplomat Cuba telah diarah meninggalkan Washington DC pada bulan Mei lalu. Kedua-dua negara hanya menjalin semula hubungan pada tahun 2015 selepas 50 tahun bertelingkah.

Seorang pegawai AS yang enggan dikenali berkata, simptom aneh itu membabitkan kehilang­an pendengaran.

Menurut pegawai berkenaan, beberapa rakan sekerja di Havana dipindahkan kembali ke AS berikutan masalah pendengaran dan gejala lain sejak enam bulan lalu dan sebahagiannya terus mendapatkan alat bantuan pendengaran.

Kementerian Luar Cuba menyifatkan pengusiran diplomatnya sebagai tindakan yang tidak adil tetapi bersedia untuk bekerjasama dengan Wa­shington bagi menjelaskan apa yang berlaku.

“Cuba tidak pernah dan tidak akan membenarkan wilayah Cuba digunakan untuk apa-apa tindakan terhadap diplomat yang diiktiraf atau keluarga mereka,” kata kementerian itu.

Menurut portal berita BBC, terdapat pandangan yang mengatakan kehilangan pendengaran tersebut mungkin disebabkan oleh beberapa jenis peranti sonik yang diletakkan di luar rumah pegawai diplomatik AS di Cuba.

Alat tersebut dikatakan memancarkan gelombang bunyi yang mengganggu pendengaran hingga menyebabkan masalah pe­kak.– REUTERS