Timbalan Setiausaha Hal Eh­wal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mark Lowcock berkata, jika sem­padan negara itu tidak di­buka untuk membekalkan ban­tuan, kebuluran yang tidak per­nah disaksikan sebelumnya melibatkan berjuta-juta mangsa akan berlaku.

Beliau berkata demikian sele­pas memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan semasa sesi tertutup berhubung krisis Yemen yang menyaksikan negara pakatan melancarkan kempen ketenteraan terhadap kumpulan pemberontak Huthi sejak bulan Mac 2015.

Menurut Lowcock, bantuan kemanusiaan PBB perlu dibenarkan masuk semula ke bandar Sanaa yang dikuasai kumpulan pemberontak dan bandar Aden yang dikuasai kerajaan.

Tegas beliau, perlu ada ‘laluan segera kepada semua pelabuhan’ bagi menyalurkan minyak, makanan dan bekalan penting termasuk jaminan negara pa­ka­tan tidak mencetuskan sebarang gangguan.

Negara pakatan berkenaan menutup semua sempadan Ye­men dan menghentikan penya­luran bantuan kelmarin sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu kumpulan pem­berontak Huthi yang berjaya dipintas dekat lapangan ter­bang Riyadh.

PBB yang telah menyena­raikan Yemen sebagai negara per­­tama menghadapi krisis kemanusiaan juga telah mengeluarkan amaran dan menyifatkan situa­si di negara itu sebagai mala petaka.

Kira-kira 17 juta penduduk Yemen kini amat mengharapkan makanan, tujuh juta daripadanya kini berada di ambang kebuluran manakala penyakit taun telah me­ngorbankan 2,000 orang.

Kelmarin, Persatuan Palang Me­rah telah menghantar bantuan tablet klorin yang digunakan untuk menghalang wabak taun tetapi bantuan itu disekat di sempadan utara Yemen.

Tentera negara pakatan Arab Saudi memasuki Yemen pada bulan Mac 2015 sebagai soko­ngan terhadap Presiden Abedrabbo Mansour Hadi yang di­usir oleh kumpulan pemberontak itu. – AFP