Menurut jurnal Nature Climate Change, kepekatan karbon dioksida yang tinggi akan mengurangkan tahap zat besi, zink dan protein dalam tanaman yang menyumbang kepada sumber makanan kepada penduduk dunia.

“Ratusan juta penduduk beri­siko terdedah kepada kekurangan nutrien, terutamanya di Afrika, Asia Tenggara, India dan Asia Barat.

“Jumlah itu adalah tambahan kepada berbilion lagi yang telah berdepan masalah kekurangan nutrien dan keadaan mereka akan menjadi lebih buruk,” kata penulis utama jurnal, Matthew Smith yang juga seorang penyelidik di Sekolah Kesihatan Awam Harvard T.H. Chan.

Kumpulan penyelidik itu mendapati hampir dua peratus daripada populasi penduduk dunia bakal mengalami masalah kekurangan zink dan 122 juta orang tidak lagi mendapat protein secukupnya.

Kira-kira 1.4 bilion wanita dan kanak-kanak berusia lima tahun berisiko mengalami kekura­ngan pengambilan zat besi seba­nyak empat peratus atau lebih manakala setengah bilion daripada jumlah berkenaan menghidap penyakit berkaitan kekura­ngan zat besi.

India dilihat bakal terjejas te­ruk dengan kira-kira 50 juta orang menderita kekurangan zink dan 38 juta orang tidak melepasi tahap pengambilan protein yang diperlukan.

Jumlah penduduk yang terjejas akan meningkat secara mendadak di China, Indonesia, Bangladesh, Brazil, Kenya dan negara membangun lain.

“Suplemen boleh membantu mengurangkan beberapa masalah kesihatan buat sementara waktu, tetapi itu bukan penyelesaian jangka panjang,” kata Smith.

Gandum, beras dan jagung menyumbang kira-kira 40 peratus protein, zink dan bekalan zat besi dalam diet di seluruh dunia.

Secara umum, manusia mendapat tiga perlima protein diet, empat perlima zat besi, dan 70 peratus keperluan zink daripada tumbuhan.

Sistem makanan global juga terdedah kepada peningkatan suhu, kemarau berpanjangan dan lain-lain bentuk cuaca melampau yang didorong oleh perubahan iklim, seperti ditunjukkan oleh ka­jian terdahulu. – AFP