Angka itu jauh lebih tinggi daripada laporan berita sebelum ini dalam skandal privasi yang ‘menggoncang’ syarikat itu selain mencetuskan persoalan tentang keseluruhan sektor internet berhubung perlindungan data.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg berkata, beliau menerima tanggungjawab di atas kegagalan melindungi data pengguna namun menegaskan bahawa dirinya masih merupakan individu terbaik menge­tuai rangkaian yang mempunyai dua bilion pengguna.

“Saya percaya kehidupan ada­­lah tentang belajar daripada ke­silapan dan mengenal pasti bagaimana cara untuk terus maju.

“Ketika anda sedang membangunkan sesuatu seperti Facebook yang pertama di dunia, pasti ada sesuatu yang tidak kena akan berlaku,” katanya.

Zuckerberg berkata, sebanyak 87 juta pengguna merupakan anggaran tertinggi bagi mereka yang terjejas dengan kebocoran itu berdasarkan bilangan maksimum sambungan kepada pengguna yang memuat turun kuiz penyelidik akademik yang mengambil profil peribadi pengguna.

“Saya yakin ia tidak akan lebih daripada 87 juta, ia mungkin kurang,” katanya.

Untuk memperbaiki masalah itu, Zuckerberg berkata, Facebook mesti memikirkan semula hubungan mereka dengan individu yang dekat dengan mereka dan ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk mengembalikan kepercayaan pengguna.

Zuckerberg akan memberi ke­te­rangan mengenai perkara itu ke­pada Jawatankuasa Dewan Kuasa dan Perdagangan Amerika Syarikat minggu ini.

Sementara itu, firma Britain terbabit memberi maklum balas terhadap pengumuman oleh Facebook itu dengan mengulangi dakwaannya bahawa mereka tidak menggunakan data daripada rangkaian sosial berkenaan dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2016.

“Cambridge Analytica ti­dak menggunakan data Facebook GSR (Penyelidikan Sains Global) atau sebarang terbitan data itu dalam pilihan raya Presiden AS dan kami melesenkan data daripada GSR bagi 30 juta individu bukannya 87 juta,” kata firma tersebut.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Ketua Pegawai Tek­nologi Facebook, Mike Schroepfer ber­kata, medium privasi baharu untuk pengguna rangkaian media sosial berkenaan boleh didapati pada Isnin depan. – AFP