BBC melaporkan, kira-kira 90 peratus buah avokado keluaran negara ini ditanam di California dan memberikan sumbangan jutaan dolar kepada ekonomi AS.

Suruhanjaya Avokado California memaklumkan kepada portal berita agrikultur, AgNet West bahawa kebakaran yang masih melanda negeri ini telah memusnahkan sekurang-kurangnya beberapa ratus ekar atau lebih kawasan tanaman yang sudah boleh dipetik.

Kata suruhanjaya berkenaan, pada musim menuai yang terakhir, tanaman tersebut mengeluarkan hasil lebih AS$400 juta (RM1.6 bi­lion) dan kebanyakannya ditanam oleh keluarga yang mempunyai ladang di selatan California.

Menurut suruhanjaya itu, kawasan tanaman avokado yang pa­ling besar iaitu di Ventura County dilanda kebakaran paling teruk sehingga memusnahkan kawasan seluas 466 kilometer per segi.

Ketua Eksekutif Biro Pertanian Ventura County, John Krist pula berkata, harapan penduduk untuk menuai hasil tanaman pada tahun depan berkecai apabila banyak buah berkenaan jatuh ke tanah.

Berdasarkan garis panduan ke­selamatan makanan sedia ada, hasil tanaman tidak boleh dijual jika ia gugur dari pokoknya.

Sementara itu, agensi berita China Xinhua melaporkan Presiden AS, Donald Trump telah mengumumkan keadaan darurat di California.

Setakat ini, seorang penduduk di kawasan terbabit maut dan tiga daripada 5,700 anggota bomba yang terlibat memadam kebakaran cedera dan kira-kira 500 bangunan musnah.

Hampir 200,000 penduduk di­pindahkan semalam daripada kediaman mereka ketika pasukan bomba terus bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang semakin teruk.

Pihak berkuasa juga mengeluarkan amaran paling tinggi iaitu tahap ungu dan menyifatkan keadaan cuaca ketika ini sangat kritikal.