Keyakinan itu disuarakan oleh ketua rundingan damai, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang dilantik oleh Dr. Mahathir pada Ogos lalu sebagai fasilitator rundingan damai antara kerajaan Thailand de­ngan kumpulan pemisah Mara Patani, badan yang menaungi kumpulan pemisah.

Bangkok Post melaporkan, Abdul Rahim mengadakan pertemuan dengan ketua perunding baharu negara ini iaitu Jeneral Udomchai Thammasaroraj di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Pertemuan itu bertujuan bagi memulakan sesi dialog rasmi berhubung proses damai antara kedua-dua pihak.

Terdapat beberapa gerakan di bawah Mara Patani terma­suk Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO), Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP); Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Barisan Islam Pembebasan Pattani (BIPP).

Bercakap kepada media selepas pertemuan itu berlangsung, Abdul Rahim menyatakan bahawa beliau memahami keadaan di wilayah Thailand sebagai isu domestik negara ini, namun Malaysia akan berusaha menghulurkan bantuan bagi menamatkan pergolakan di kawasan tersebut.

Abdul Rahim juga menjelaskan bahawa beliau sudah berbincang dengan beberapa kumpulan pemisah dan yakin mereka berada atas momentum yang positif dan pendamaian di wilayah selatan negara ini dapat dicapai dalam tempoh terdekat.

“Ada sesetengah kumpulan pemisah sudah bersedia untuk memulakan rundingan damai dan ada juga yang tidak dan enggan terlibat, malah ada yang lari ketika pertemuan sudah diaturkan.

“Kami sudah kenal pasti semua kumpulan pemisah yanga da di selatan Thailand, namun kami tidak mahu menekan mereka kerana biarlan rundingan damai ini berlaku dengan cara yang wajar kerana ia boleh mempengaruhi kejayaan dalam jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Udomchai memaklumkan bahawa kerajaan Thailand juga sudah bersedia mengadakan rundingan dengan semua pihak bermula dengan BRN dan kumpulan seterusnya.

Merujuk kepada cadangan Dr. Mahathir untuk melaksanakan wilayah autonomi di selatan negara ini, Udomchai memberitahu bahawa perkara itu dilihat sebagai mewujudkan zon pentadbiran khas. – AGENSI