Dalam satu wawancara bersama akhbar The Indian Express yang disiarkan hari ini, abang mangsa berkata, walaupun adiknya telah meninggal dunia, dia dan keluarganya tidak akan berhenti berjuang untuk mendapatkan keadilan bagi mangsa.

"Perjuangan baru sahaja bermula. Kami mahu semua tertuduh digantung sampai mati dan kami akan berjuang habis-habisan," katanya.

Enam orang tertuduh didakwa atas kesalahan membunuh selepas merogol secara bergilir-gilir pelajar perubatan tersebut di dalam sebuah bas di New Delhi pada 16 Disember lalu.

Pelajar itu yang tidak didedahkan namanya, dijadual melangsungkan perkahwinan pada Februari ini dan tragedi terbabit telah mencetuskan rusuhan di seluruh India untuk menuntut undang-undang yang lebih tegas dilaksanakan.

Bapa mangsa berkata, anak lelakinya itu mungkin akan menderita sepanjang hayatnya selepas kehilangan adik kesayangan dalam kejadian yang menyayat hati.

"Isteri saya turut diselubungi kesedihan yang amat sangat dan dia tidak berselera untuk makan sejak dua minggu lalu.

"Dia sangat letih dan tidak dapat menerima hakikat kematian anak perempuan kami," katanya.

Sementara itu, parti pemerintah, Kongres India Nasional (INC), dilapor mengusulkan agar satu hukuman yang lebih berat dilaksanakan terhadap pelaku jenayah seks, termasuk mengasi secara kimia.

Pihak berkuasa di New Delhi juga dilapor melancarkan satu talian kecemasan untuk mempertingkatkan tahap keselamatan bagi wanita di bandar raya ini. - AFP