Pod tidur percuma tersebut adalah sebahagian daripada langkah baharu yang dilancarkan Arab Saudi tahun ini dalam usaha untuk memodenkan infrastruktur.

Ketua Persatuan Hadiah Amal Haji dan Mutamer, Mansour al-Amer berkata, pihaknya bakal menawarkan antara 18 hingga 24 kapsul untuk jemaah haji berehat dan tidur secara percuma sepanjang musim haji.

Setiap pod gentian kaca yang berukuran hampir tiga meter panjang dan lebih satu meter tinggi itu mempunyai tilam, cadar bersih, penyaman udara dan cermin yang besar dan terang.

Bilik kecil bergerak itu disusun secara mendatar atau menegak untuk menjimatkan ruang.

“Kami sentiasa memikirkan tentang kebajikan jemaah haji dan bagaimana untuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa semasa menyempurnakan ibadat mereka,” kata Mansour.

Bilik tidur istimewa itu menjadi alternatif terbaik kepada jemaah haji yang memerlukan ruang melepaskan lelah seketika semasa menunaikan haji.

Setiap pengguna akan diberikan akses selama tiga jam untuk berehat dan tidur di pod ber­kenaan yang diimport dari Jepun dengan kos sekitar AS$1,114 (RM4,570) setiap satu.

Selepas pengguna bangun untuk menunaikan solat dan ibadat lain, pekerja akan membersihkan pod berkenaan sebelum membukanya kepada jemaah haji lain.

“Idea ini sudah wujud di seluruh dunia. Kami percaya ini amat sesuai untuk tempat-tempat yang sesak selain diperkenalkan di Mekah,” jelasnya.

Selain pod tidur bergerak itu, kerajaan Arab Saudi juga memperkenalkan aplikasi untuk terjemahan dalam talian dan penja­gaan perubatan kecemasan bagi kemudahan jemaah. – AFP