Kapal berkenaan yang membawa tiga krew dan 10 orang anak kapal termasuk wakil tunggal Malaysia, Dr. Fauziah Mohd. Hasan telah ditawan oleh tentera Israel sekitar jam 9.58 malam (waktu Malaysia).

“Kapal Zaytouna dijangka akan ditunda oleh tentera Israel menuju ke Pelabuhan Ashdod,” kata penyelaras Facebook Rose2Rose dalam status yang dimuat naik pada pukul 11 malam ini.

Dua jam sebelum ditawan tentera Israel, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengesahkan bahawa mereka telah terputus hubungan de­ngan kapal berkenaan.

Kapal Zaytouna yang membawa 13 sukarelawan dari 12 buah negara telah memulakan pelayaran pada 14 September dari Barcelona, Sepanyol menuju Gaza dalam misi memecahkan kepungan rejim Zionis Israel ke atas Gaza dengan pendekatan tanpa kekerasan.

Sebelum itu, kapal terbabit berada di kedudukan 92 kilometer ke garisan perairan Gaza pada kira-kira pukul 2.30 petang waktu tempatan dan sepatutnya dijangka tiba di Gaza pagi esok (kira-kira pukul 11 pagi waktu Malaysia).

“Anak-anak kapal Zaytouna sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan sekiranya kami dihalang oleh tentera Israel.

“Mesej kami (misi) adalah ‘Cinta, keamanan dan kemanusiaan’. Prinsip kami adalah menolak keganasan. Krew dan anak kapal kesemuanya wanita dan terlatih de­ngan pendekatan aman,” kata Pengerusi Humanita­rian Care Malaysia (MyCare), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Facebook Rose­2Rose.


Video ihsan AL-JAZEERA