Hal demikian kerana jumlah bahan buangan plastik disebabkan kanta lekap dan pembungkusannya di Amerika Syarikat (AS) sahaja menyamai jumlah 400 juta berus gigi setiap tahun, jelas penyelidik dari Arizona State University (ASU), Rolf Halden.

Beliau yang bertugas di Pusat Kejuruteraan Kesihatan Persekitaran ASU mendedahkan pe­nemuan itu ketika pameran dan mesyuarat kebangsaan Pertubuhan Kimia AS di Boston.

“Ini adalah bahan pencemaran yang nyata.

“Terdapat berjuta-juta kanta lekap di kawasan kumbahan di AS setiap tahun. Bahan itu menyumbang ‘beban sampah’ sekurang-kurangnya 20,000 kilogram setahun,” katanya.

Sekurang-kurangnya 45 juta orang di AS memakai kanta lekap dengan jumlah 13 bilion kanta yang dipakai setiap tahun.

Halden yang turut memakai kanta lekap dan memulakan kajian mengenai kanta yang dibuang menganggarkan pembungkusan kanta itu yang diperbuat daripada plastik polypropylene menambah sekitar 13 juta kilogram bahan buangan.

Seorang lagi penyelidik, Charlie Rolsky memberitahu, berdasarkan kajian pemakai kanta lekap di AS mendapati, kira-kira 15 hingga 20 peratus dalam kala­ngan mereka membuang kanta lekap di singki atau tandas.

Partikel plastik itu sama ada mengalir ke lautan atau menjadi sebahagian daripada enap kumbahan dan kemudiannya mencemarkan lautan.

Ikan kecil dan plankton dilihat memakan mikroplastik itu kerana menganggapnya makanan.

Plastik yang tidak dapat di­cerna tersebut kemudiannya meneruskan rantaian makanan dan masuk ke dalam makanan manusia.

Penyelidik memberitahu, mereka berharap kajian itu memberi amaran kepada pengeluar kanta lekap dan menggalakkan pengguna membuangnya dengan betul.

Halden berkata, ramai orang tidak menyedari bahawa perbuatan membuang kanta lekap ke dalam tangki pam tandas adalah berbahaya kepada alam sekitar.