Menurut laman web Radio Free Asia, sebanyak 19 orang kanak-kanak ditemu ramah oleh seorang wartawan BenarNews sewaktu mengadakan kunjungan ke kem-kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Semua kanak-kanak lelaki serta perempuan itu yang berusia antara 11 dan 12 tahun berkongsi pengalaman yang disifatkan se­perti satu ‘mimpi buruk’ sehingga memaksa mereka melarikan diri dari negeri Rakhine sejak Oktober lalu.

“Pihak tentera melibas abang saya sehingga mati dan membakar rumah kami serta menyeksa wanita. Kami terpaksa bersembunyi di dalam hutan berdekatan.

“Saya masih lagi diselubungi ketakutan apabila terfikirkan peristiwa itu. Saya tidak boleh tidur malam,” kata seorang kanak-kanak perempuan, Tasmin Khatun, 11, yang tinggal di kem pelarian Kutupalong.

Menurut seorang remaja, Abdul Malek berkata, dia menyaksikan sendiri pasukan keselamatan ­Myanmar mencampakkan abangnya di dalam rumah yang sedang dijilat api.

“Mereka telah membunuh semua orang dengan membakar segala-galanya,” kata Abdul.

Pasukan keselamatan Myanmar dituduh melakukan kekejaman terhadap Rohingya seperti pembunuhan, rogol dan membakar rumah ketika mereka menjalankan operasi mencari suspek yang terlibat dalam pembunuhan sembilan pengawal sempadan pada Oktober lalu.