Masa depan mereka juga kabur, setahun selepas tentera Myanmar melancarkan tindakan kekerasan sehingga memaksa lebih 700,000 etnik itu melarikan diri dari negara berkenaan.

Laporan Tabung Darurat Kanak-Kanak PBB (Unicef) menyebut, kehidupan dan masa depan lebih daripada 380,000 kanak-kanak di kem pelarian di Bangladesh kini juga dalam bahaya ketika ratusan ribu kanak-kanak Rohingya di Myanmar terputus bantuan.

Jurucakap Unicef, Alastair Lawson-Tancred berkata, Bangladesh melarang pelarian daripada mendapat pendidikan rasmi kerana bimbang populasi etnik tersebut boleh menjadi satu struktur kekal di negara itu.

Pada permulaan krisis itu kata Lawson-Tancred, agensi bantuan mewujudkan pusat pembelajaran tidak rasmi bagi kanak-kanak berusia tiga hingga 14 tahun, namun remaja yang lebih dewasa rasa terasing dan tidak mempu­nyai harapan.

“Tidak dapat disangkal, terdapat bahaya bahawa kita berdepan kehilangan satu generasi. Cepat atau lambat, kita akan mempu­nyai satu kumpulan besar remaja yang ‘tidak berpuas hati’,” kata­nya.

Kebanyakan pelarian itu menyeberangi sempadan dalam tempoh empat bulan pertama daripada operasi ketenteraan yang bermula selepas pemberontak Rohingya melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan di Rakhine pada 25 Ogos 2017.

Pegawai kerajaan Myanmar kerap menafikan tentera melakukan kezaliman ke atas etnik Islam Rohingya yang telah didokumenkan oleh aktivis termasuk kes rogol, pembunuhan dan membakar kediaman penduduk.

Dalam pada itu, kajian yang dibuat pertubuhan kebajikan Save the Children melaporkan, satu daripada dua kanak-kanak Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh berbuat demikian tanpa ibu bapa mereka selepas menjadi yatim piatu akibat keganasan ketika lebih 6,000 kanak-kanak tinggal di Cox’s Bazar sendirian atau perlu menjaga diri sendiri.

Unicef memaklumkan, walaupun agensi bantuan berjaya menyediakan perkhidmatan asas, namun krisis itu jauh daripada penyelesaian dengan pelarian di kem yang penuh sesak berdepan masalah banjir, tanah runtuh dan penyakit.

Pertubuhan kebajikan Bri­tain, Oxfam memberi amaran, beberapa kemudahan asas seperti tandas dan bilik mandi kebanyakannya tidak mempunyai pintu, bumbung atau berkunci sekali gus memberi ancaman penularan wabak dan risiko kesihatan kepada wanita Rohingya.

Tambahnya, beratus-ratus kes keganasan seksual dilaporkan setiap minggu di Cox’s Bazar. – REUTERS