Demikian nasib seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang seakan kehilangan punca selain terpaksa menjaga neneknya yang sakit serta mo­yangnya yang berusia 92 tahun di sebuah rumah kecil di barat daya China.

Shanghaiist melaporkan, nenek serta moyang kepada Wang Anna hanya terlantar di atas katil sekali gus memaksa si kecil itu mengambil alih semua kerja rumah.

Selain mengemas, memasak dan mencuci pakaian, Anna turut meluangkan masa membawa nenek dan moyangnya itu bersiar-siar jika keadaan kesihatan kedua-dua mereka mengizinkan.

Dalam pada itu, tiga beranak terbabit bernasib baik apabila mempunyai jiran-jiran yang se­ring menghulurkan bantuan se­perti makanan.

Walaupun dianggap kuat kerana mampu melakukan kerja-kerja rumah pada usia lima tahun, Anna juga seperti kanak-kanak lain yang tidak dapat menyembunyikan perasaan rindu setiap kali menatap gambar ibu bapanya.

Apapun, kisah Anna sebenarnya bukanlah luar biasa bagi masyarakat di China ketika ini.

Tahun lepas, kisah seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun menjadi tular selepas si kecil itu dilaporkan terpaksa menjaga datuk dan neneknya sendirian gara-gara diabaikan oleh ibunya.