Clara Bates, 29, berkata, anak­nya, Farrah menderita akibat pe­nyakit ‘pica’ hingga menyebabkan kanak-kanak tersebut melihat semua benda di sekitarnya boleh dimakan.

Menurut wanita terbabit, selain berpindah-randah, dia juga terpaksa membayar harga semua kerosakan yang dilakukan kanak-kanak berusia lima tahun itu kepada tuan rumah.

“Saya menyedari selera pelik Farrah sejak usianya 10 bulan apabila dia kerap mema­sukkan kakinya ke dalam mulut sebelum menghisapnya.

“Bagaimanapun, saya tidak terlalu ambil kisah ketika itu kerana saya dimaklumkan tabiat bayi memang begitu,” katanya seperti dilaporkan Daily Star baru-baru ini.

Jelas Bates, dia mula mengesyaki sesuatu selepas pelekat kasut yang dibelikan kepada anaknya mula hilang dan perkara yang sama berlaku setiap kali kasut baharu dibelikan kepada Farrah.

“Saya percaya Farrah telah menelan pelekat kasut itu dan saya menjadi begitu takut,” kata wanita berasal dari Derby, kira-kira 182 kilometer dari London itu.

Ketakutan Bates semakin menjadi-jadi apabila Farrah mengakui memakan permaidani dan perabot di rumah sewa mereka selain me­ngunyah kasut adik lelakinya.

Berikutan itu, Bates terpaksa membuang semua permaidani di rumah tersebut dan ‘didenda’ sebanyak 500 pound (RM2,747) oleh tuan rumah sebagai ganti rugi.

“Doktor pernah memaklumkan keadaan Farrah semakin teruk dan boleh membawa maut jika berlarutan. Saya bimbang sesuatu yang buruk berlaku terhadapnya,” katanya yang memberitahu belum ada rawatan khusus untuk mena­ngani masalah itu setakat ini.