Kanak-kanak terbabit, Kautilya Pandit berasal dari Kampung Kohand, Haryana, menjadi selebriti terkenal di India kerana kemahirannya mengingati statistik ekonomi, politik, dan beberapa subjek lain.

Malah dalam tempoh tiga bulan sahaja, Kautilya boleh menghafal maklumat tentang 213 negara termasuk jumlah penduduk, keluaran dalam negara kasar (KDNK), sumber pendapatan, nilai mata wang, agama, budaya, dan warisan negara tersebut.

Oleh itu tidak hairanlah Kautilya sering mengembara ke setiap sekolah di seluruh India untuk menjawab soalan secara langsung yang diajukan oleh kanak-kanak lain bagi membuktikan kepintarannya.

Dalam kemunculan terbaharu, dia ditanya tentang beberapa soalan sukar seperti keluasan bandar Vatican City, KDNKK Britain dan banyak lagi, namun kanak-kanak genius itu tidak menghadapi sebarang masalah untuk menjawab soalan yang diajukan.

Murid itu berkata, walaupun tidak mempunyai rakan di kelas, datuknya menjadi kawan baiknya yang sentiasa memberi dorongan.

“Saya bertuah kerana memiliki ibu bapa dan guru yang menyedari kebolehan ini dan mengembangkannya walaupun saya tidak sedar tentang keupayaan tersebut,” katanya seperti yang dilaporkan portal Oddity Central.

Bapa Kautilya, Satish Sharma mengakui, dia dan isteri bangga dengan bakat anak lelakinya itu yang sentiasa berminat untuk mempelajari banyak perkara selain dikurniakan kebolehan mengingati maklumat dengan pantas.