Para pemerhati dan pekerja bantuan bimbang, keganasan yang kini hanya tertumpu di kawasan majoriti penduduk Rohingya di bahagian utara Rakhine bersempadan dengan Bangladesh, akan merebak ke kawasan yang bilangan kedua-duanya masyarakat itu lebih besar dan berada sebelah menyebelah.

Reuter melaporkan sekatan terhadap umat Islam di Kampung Zay Di Pyin itu masih diteruskan sehingga hari ini meskipun sejumlah kecil daripada mereka sudah dibenarkan melalui ke­pungan itu bagi membeli barang ke­perluan, semalam.

Keadaan itu mengakibatkan pemerhati dan pekerja bantuan bimbang keganasan yang selama ini hanya tertumpu di kawasan utara negeri Rakhine yang bersempadan dengan Bangladesh dan dihuni majoriti penduduk Rohingya akan mula meletus di kawasan yang mana dua komuniti itu tinggal sebagai berjiran dalam jumlah yang banyak.

Polis berkata, penduduk kampung Buddha menghadkan jumlah makanan yang boleh dibeli etnik Rohingya selain menafikan pergerakan mereka di sekitar kawasan kampung manakala akses ke tempat kerja disekat.

“Saya percaya mereka hanya takut dan tidak akan keluar,” kata jurucakap polis Myanmar, Kolonel Myo Thu Soe.

Kerajaan Myanmar dalam pada itu berkata mereka sedang ber­usaha meningkatkan keselamatan di kawasan itu tersebut.

Dalam pada itu, jurucakap kumpulan pemerhati Rohingya, Chris Lewa dari Arakan Project berkata, beliau bimbang konflik di Zay Di Pyin boleh bertukar menjadi ganas antara dua kumpulan komuniti Islam dan Buddha.

Kampung Zay Di Pyin dihuni kira-kira 5,000 orang penduduk dengan terdapat sebuah masjid dan tokong Buddha dengan penduduk Buddha menyekat pintu masuk ke kampung dengan pagar sejak bulan Julai sekali gus menghalang akses etnik Rohingya ke pasar dan kolam yang dijadikan sebagai sumber air.

Penduduk tempatan mendakwa, ketegangan itu berpunca apabila seorang lelaki Buddha dari kampung berhampiran hilang dan tiga penduduk Rohingya ditemukan dibunuh di lokasi dan tarikh yang sama.

“Kesemua mangsa didakwa membunuh lelaki Rakhine yang hilang itu dan menghalang penduduk daripada keluar rumah,” kata seorang lelaki Rohingya yang enggan dikenali. – REUTERS