Lapor Metro UK, artifak seperti peralatan menyalakan api, kail dan tombak dari Zaman Ais dijumpai ketika penggalian dilakukan di Pulau Triquet, 500 kilo­meter di barat laut Victoria, Kanada.

Selain itu, dikatakan kampung itu adalah lebih tua daripada usia Piramid Giza di Mesir.

Penemuan terbaharu itu juga menguatkan lagi bukti sejarah berhubung kewujudan perkampungan pantai purba di Heiltsuk Nation.

Heiltsuk Nation didakwa merupakan satu-satunya kawasan yang tidak pernah beku semasa Zaman Ais dan menjadi petempatan kepada manusia zaman terdahulu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Dahulu cerita kewujudannya hanya disampaikan secara lisan sejak turun-temurun, namun kini bukti sejarahnya telah disokong dengan penemuan artifak pada zaman tersebut,” kata penduduk Heiltsuk Nation, William Housty.

Menurut ahli arkeologi, penghijrahan manusia secara besar-besaran mungkin telah berlaku di pesisir British Columbia pada zaman berkenaan.

“Apa yang dijumpai ini akan mengubah idea kami berkenaan petempatan pertama masyarakat Amerika Utara,” kata pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang antropologi, Universiti of Victoria, Alisha Gauvreau.