Selepas mengambil alih pentadbiran AS daripada Barack Obama pada 20 Januari lalu, Trump melaksanakan beberapa dasar yang tegas dan mencetuskan kontroversi termasuk dasar imigresen yang dilihat menyulitkan pelancong asing dan rakyatnya sendiri.

Duta AS ke Malaysia KAMALA S. LAKHDHIR semasa temu bual pertamanya dengan Utusan Malaysia di Kedutaan AS di Jalan Tun Razak, semalam menghargai hubungan baiknya yang terjalin sejak sekian lama dengan semua negara termasuk Malaysia walaupun berlaku perubahan di pucuk pimpinan AS.

Pengarang Kanan Meja Luar Negara, MOWARDI MAHMUD dan Pengarang Supplemen MUSTAFA KAMAL BASRI sempat mendapatkan pandangan Kamala tentang isu semasa berkaitan kepentingan rantau ini, Malaysia dan Islam.

Bagaimana Puan menilai tentang hubungan AS dengan Malaysia di bawah pentadbiran Pre­siden Donald Trump?

AS menghargai hubungannya dengan Malaysia malahan ia terus diperkuatkan terutama dari segi perdagangan, keselamatan dan usaha memerangi pengganas merentas sempadan serta kegiatan pengedaran dadah. AS menyifatkan Malaysia sebagai rakan yang akrab dan menghargai sumbangan Malaysia di peringkat antarabangsa terutama dari segi ke­selamatan dan usaha memerangi keganasan.

Hubungan antara kedua-dua negara mendalam dan juga lebih meluas mencakupi pelbagai aspek lebih luas berbanding sebe­lumnya. Kami akan terus memajukannya daripada apa yang dicapai sekarang.

Kerajaan AS menghargai pe­ranan yang telah dimainkan oleh Malaysia sebagai anggota tidak tetap dan Pengerusi Majlis Ke­selamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebanyak dua kali sebelum ini.

Pentadbiran Trump juga mahu menumpukan kepada membangunkan dan mengukuhkan hubungannya di Asia Pasifik, saya tidak fikir kami akan menjauhi diri seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak.

Dasar-dasar Trump yang keras berhubung isu imigresen telah menimbulkan kebimbangan rak­yat negara ini, apa komen Puan?

Dasar imigresen yang dilaksanakan oleh Trump adalah demi menjaga dan melindungi ke­selamatan penduduk AS daripada ancaman luar terutama pengganas. Dasar itu juga bertujuan menjaga keselamatan di sempadan daripada ancaman pengganas dan jenayah.

Bagi Malaysia, tiada halangan dan sekatan dikenakan. Kami memproses sehingga 99 peratus kelulusan bagi pelajar-pelajar yang memohon visa untuk datang belajar di AS dan bagi ibu bapa yang memohon visa untuk datang melawat anak-anak mereka atau melancong di negara itu kami beri kelulusan sehingga 97 peratus. Hanya tiga peratus sahaja permohonan visa yang ditolak,

Saya tidak nafikan, sebagai ibu bapa, sesiapa pun akan mempunyai kebimbangan untuk melepaskan anak lelaki atau perempuan mereka (ke AS), begitu juga dengan saya jika mahu menghantar anak mereka ke Malaysia.

Namun, dasar imigresen Amerika terutama membabitkan kedatangan pelajar-pelajar asing ke negara itu adalah amat mesra terutama universiti-universiti dan kolej-kolej di AS sentiasa me­nerima pelajar asing termasuk dari Malaysia untuk belajar di sana.

Meskipun berlaku kes, contohnya di mana anak petinju terkenal, Muhammad Ali Jr yang merupakan warga AS ditahan, bantahan terhadap penahanan itu juga datang daripada masyarakat AS sendiri.

AS merupakan rakan pe­la­bu­ran penting Malaysia, sejauh mana dasar baharu pentadbiran akan mengubahkan keadaan ini?

Amerika turut melihat Malaysia sebagai rakan dagangan yang penting dan AS mahu hubungan perdagangan sedia ada dipertingkatkan demi manfaat kedua-dua negara serta penduduknya.

Syarikat-syarikat AS boleh mengendalikan perniagaan di mana sahaja mereka kehendaki sama ada di Malaysia atau negara-negara lain meskipun pentadbiran baharu memberikan perhatian terhadap mewujudkan peluang pekerjaan di dalam negara sendiri seperti dilakukan oleh negara-negara lain.

Semuanya ditentukan oleh syarikat-syarikat itu sendiri. Saya menyedari bahawa terdapat syarikat-syarikat AS yang berada di sini sejak berdekad-dekad lamanya kerana Malaysia mempunyai persekitaran perniagaan yang baik.

Mengenai penarikan AS daripada perjanjian Trans-Pasific Partnership (TPP), ia telahpun diputuskan oleh Trump lebih awal lagi sejak berkempen dalam Pilihan raya Presiden AS lagi.

Saya tidak fikir bahawa pentadbiran baharu ini tidak berminat untuk menjalinkan perkongsian ekonomi yang kukuh dengan Malaysia dan juga negara-negara lain di rantau ini.

Inilah yang saya dengar ketika berada di Washington, pihak pentadbiran mengatakan keputusan menolak TPP bukan bermakna mereka tidak mahu mempunyai hubungan ekonomi yang kukuh. Mereka mahukan hubungan ekonomi yang mendalam.

Bagaimana AS melihat tindakan China memperluaskan ke­kua­tan tenteranya di rantau ini (Laut China Selatan)?

Kami sentiasa memberi penekanan kepada isu keselamatan dan dalam masa sama mahu bersahabat dengan semua negara. AS memberi penekanan terhadap keselamatan serantau termasuk di rantau Asia Pasifik dan ASEAN, dan bekerjasama dengan banyak negara termasuk Malaysia dalam memerangi pengganas merentas sempadan serta kegiatan pengedaran dadah.

Kami tidak melihat sebarang ancaman di rantau ini, dan Washing­ton sentiasa memberi penekanan terhadap hubungan dengan negara-negara lain termasuk dengan Beijing. AS sentiasa mengamalkan pendekatan diplomatik dan saluran antarabangsa dalam menangani sebarang isu antarabangsa. Saya fikir penting bagi kesemua negara termasuk AS dan China komited kepada penyelesaian yang aman.

Pentadbiran Trump secara jelas memihak kepada Israel dalam isu Palestin, apa pandangan Puan?

AS sentiasa menekankan tentang pentingnya diwujudkan keamanan dan mahu proses perdamaian diwujudkan di wilayah itu.