Usaha tersebut dilihat semakin membuahkan hasil apabila negara itu mula mencatat pencapaian sedikit demi sedikit dalam bidang tersebut.

Baru-baru ini, sekumpulan pelajar dari Chennai berjaya mencipta dan ‘menerbangkan’ satelit komunikasi paling ringan di dunia.

K. SRIMATHY menunjukkan satelit Kalamsat V2 yang seberat 1.2 kilogram.
K. SRIMATHY menunjukkan satelit Kalamsat V2 yang seberat 1.2 kilogram. 

Satelit berbentuk kiub bersaiz 10 sentimeter yang diberi nama Kalamsat V2 itu hanya seberat 1.2 kilogram dan dilancarkan dari Pusat Angkasa Lepas Sriharikota di selatan negeri Andhra Pradesh pada 24 Januari lalu.

Pelancaran Kalamsat V2 membuka mata banyak pihak terutamanya dalam sektor angkasa lepas bahawa India juga mampu menghasilkan teknologi secanggih negara-negara maju yang lain.

Kejayaan itu jelas mendapat pujian Perdana Menteri India, Narendra Modi.

“Jutaan tahniah kepada semua saintis angkasa lepas kita kerana kejayaan mereka melancarkan Roket Pelancar Satelit Polar (PSLV) yang membawa satelit imej seberat 740 kilogram serta satelit Kalamsat V2.

“Pelancaran tersebut bukan sahaja berjalan lancar, malah berjaya meletakkan Kalamsat dalam orbit,” jelas Modi.

Kejayaan itu menjadi satu lagi batu loncatan buat Organisasi Kajian Angkasa Lepas India (ISRO) yang sebelum ini memenangi ‘Perlumbaan Asia ke Planet Marikh pada 2014’ apabila satu daripada kapal angkasanya berjaya tiba di Marikh dengan hanya menggunakan kos kecil.

Kalamsat dibina dengan menggunakan kos berjumlah AS$1.2 juta (RM4.9 juta) oleh tujuh pelajar yang berusia 18 hingga 21 tahun dari Organisasi Space Kidz India.

Kumpulan itu dianggotai oleh Rifath Shaarook, Tanishq Dwivedi, Vinay S. Bharadwaj, Yagna Sai, Mohammed Abdul Kashif, Gobinath dan dibawah pemantauan pengasas Space Kidz India, Dr. K. Srimathy.

Kalamsat V2 berfungsi sebagai satelit komunikasi bagi transmisi radio yang digunakan oleh golongan amatur untuk aktiviti bukan komersial.

Pada 2017, kumpulan pelajar tersebut pernah menghasilkan satu lagi satelit yang lebih kecil iaitu seberat 64 gram dan dilancarkan menggunakan roket Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA) di Amerika Syarikat (AS), namun gagal sampai ke orbit.

Dalam pada itu, Shaarook memberitahu, kejayaan pelancaran itu merupakan hadiah paling bermakna buat beliau dan rakan-rakannya yang menghabiskan masa kira-kira 20 jam sehari selama enam hari untuk menghasilkan Kalamsat.

Menurut pelajar tersebut, impiannya dan rakan-rakan untuk menghasilkan satelit paling ringan sebelum ini pernah mendapat pandangan serta komen sinis daripada pelbagai pihak.

Hal demikian kerana ramai yang beranggapan impian mereka hanya sekadar angan-angan kosong.

Namun kini, Shaarook dan pasukannya berjaya membuktikan semua tanggapan tersebut adalah salah.

“Kami berasa amat bangga dengan pencapaian ini apabila berjaya membuktikan impian boleh dicapai kepada semua orang,” jelasnya.

Sementara itu, K. Srimathy turut mendedahkan banyak pihak mengejeknya kerana bekerjasama dengan kumpulan pelajar muda yang dianggap masih belum matang dalam sektor angkasa lepas.

Jelasnya, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk menggalakkan anak-anak muda tersebut mencapai impian mereka untuk menghasilkan Kalamsat.

“Kejayaan Kalamsat membuktikan sesiapa sahaja boleh menjadi saintis angkasa lepas asalkan mereka mempunyai kemahuan dan cita-cita tinggi,” katanya.

Kalamsat diambil sempena nama bekas Presiden India, Dr. A.P.J Abdul Kalam.